KUCHING: Program Jelajah Belia 2020 yang bertemakan ‘Belia X-tive Pemangkin Pembangunan Negara’ adalah merupakan salah satu platform untuk memperkasakan peranan golongan belia dalam pembangunan negara dan juga negeri.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jika hendak melihat bagaimana pembangunan dalam sesebuah negara pada masa akan datang lihatlah bagaimana dengan pembangunan belia yang ada sekarang.
“Semua maklum bahawa setiap kita pernah menjadi belia, golongan belia yang ada masa ini sedang melalui proses yang sama dan satu hari kelak mereka ini juga akan mengambil alih apa yang kita lakukan sekarang.
“Sebab itu, kita perlu membentuk belia ini dari awal supaya mereka berupaya untuk mengambil alih dalam pembangunan negeri mahupun negara di masa hadapan. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Belia Sarawak bagi kawasan Tupong, di Hotel Waterfront, Kuching, di sini semalam.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian, Belia dan Sukan, Nancy Jolhi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Azura Sarbin.
Abdul Karim berkata, program yang dianjurkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu tidak berunsurkan politik.
“Program yang dianjurkan oleh pihak kementerian ini tidak ada berunsurkan politik. Oleh sebab itu, saya telah mengarahkan agar supaya di mana-mana program jelajah belia yang kita anjurkan tidak ada sebarang bendera parti politik dipasang.
“Apabila bersama-sama dengan belia, kita harus tolak tepi semua parti politik dan cuba melihat bagaimana cara terbaik untuk membangunkan belia agar golongan ini boleh berpendirian sendiri dan membuat analisa yang mana baik dan buruk,” katanya.
Pada Abdul Karim diminta mengulas lanjut mengenai pembentangan bajet 2021 yang akan dibuat pada Khamis depan (6 November 2020), Abdul Karim berkata bajet belanjawan 2021 itu diharapkan dapat meringankan beban rakyat.
“Harapan saya adalah bajet ini dapat meringankan beban rakyat dalam apa sahaja kapasiti, kerana pada masa ini kita tahu negara sedang dilanda musibah wabak covid-19 dan saya berharap ia sedikit sebanyak dapat meredakan serta menggurangkan beban rakyat kita,” ujarnya.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, berharap agar bajet tersebut juga merangkumi pelancongan kerana pada masa ini, pelancong takut untuk melancong ke negara ini.
Katanya, orang tidak yakin untuk melakukan perjalanan ke luar negeri mahupun luar negara, dan pelancong takut untuk terbang ke negara ini, dan sekiranya promosi dilakukan di luar negara, ia tidak akan menghidupkan industri ini.
“Saya berharap melalui insentif atau bantuan daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam pembentangan bajet 2021 dan persidangan dewan undangan negeri (DUN) pada bulan November ini sedikit sebanyak menghidupkan industri pelancongan. Ini adalah kerana industri ini juga turut terkesan.
“Sekirannya covid-19 ini tidak melarat sehingga penggal kedua tahun 2021, saya percaya industri ini dapat meningkat sedikit, kita tahu ianya tidak akan kembali secepat mungkin dan ia akan mengambil masa untuk kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Oleh Jeakqleyn Yacho