
SIBU: Peranan pekerja sosial semakin penting dalam menyatukan masyarakat yang kian berdepan pelbagai jurang dan perpecahan kata Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling.
Beliau berkata dalam dunia yang semakin kompleks, perpecahan sama ada dari segi sosial, ekonomi, budaya mahupun politik semakin ketara, justeru komitmen dan keprihatinan pekerja sosial amat diperlukan bagi merapatkan jurang tersebut.
“Ketidaksamaan masih wujud, komuniti semakin terpecah dan ramai individu berasa terpinggir. Dalam keadaan ini, peranan pekerja sosial menjadi semakin kritikal.
“Kita bukan sekadar penyedia perkhidmatan, tetapi juga pembina jambatan, pembela masyarakat dan pemangkin perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Hari Kerja Sosial Sedunia 2026 di Methodist Pilley Institute (MPI) di sini, baru-baru ini.
Seminar bertemakan ‘Co-building Hope and Harmony: Harambee Call to Unite the Divided Society’ itu dianjurkan oleh Jabatan Kerja Sosial MPI sempena sambutan ulang tahun ke-35 institusi berkenaan.
Ling turut memuji usaha MPI menganjurkan seminar tersebut yang disifatkan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan sebenar kerja sosial, sekali gus menghapuskan tanggapan bahawa bidang itu sekadar melibatkan aktiviti kebajikan atau sukarelawan semata-mata.
Beliau berkata keperluan terhadap pekerja sosial di Sibu semakin meningkat seiring perkembangan masyarakat yang turut membawa pelbagai perubahan sosial.

Menurutnya, cabaran yang dihadapi termasuk peningkatan isu kesihatan mental, masalah kekeluargaan serta keperluan golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tema seminar berkenaan sebagai relevan dalam menyeru semua pihak berganding bahu menangani cabaran semasa.
“Kerajaan, komuniti, organisasi dan individu perlu bekerjasama. Isu seperti kemiskinan, kesihatan mental, keruntuhan institusi keluarga dan pengasingan sosial tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan tindakan kolektif dan komitmen berterusan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengetua MPI, Dr Lu Huong Ying berkata seminar tersebut memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam peranan pekerja sosial.
Beliau berkata, MPI sentiasa menekankan kepentingan pendidikan berasaskan dasar serta penglibatan komuniti dalam melahirkan graduan yang mampu menyumbang secara berkesan kepada masyarakat.
“Kami percaya kerjasama dengan komuniti dan sektor korporat penting dalam membentuk kurikulum yang relevan dan memenuhi keperluan masa depan,” katanya.
Turut hadir Ketua Program Diploma Kerja Sosial MPI Francisca Numpang, pakar kerja sosial Dr Ling How Kee dan Gill Raja, serta Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Sibu, Florida Mathew Masir.
Kira-kira 35 peserta menghadiri seminar tersebut.
Oleh Tarani Lanting