
SARATOK: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terus diiktiraf sebagai elemen penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek pembangunan di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, KMKK berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ wakil rakyat dalam menyampaikan maklumat serta memantau perjalanan projek agar berjalan lancar mengikut perancangan.
Menurut beliau, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh KMKK dalam melaksanakan amanah telah banyak membantu mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan tersebut.
“Syabas dan tahniah kepada semua KMKK kerana berjaya melaksanakan tugas dengan baik sehingga banyak projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran KMKK, Persatuan Pesara Saratok dan Ahli Jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam Saratok, dekat sini hari ini.


Tambah beliau, pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar hasil kerjasama erat semua pihak.
Mohamad Duri turut menjelaskan bahawa kejayaan pelaksanaan projek bukan sahaja bergantung kepada KMKK, malah memerlukan sokongan padu daripada ketua-ketua jabatan yang terlibat.
Katanya, hubungan baik serta koordinasi berkesan antara ketua jabatan dan KMKK menjadi kunci utama dalam memastikan setiap projek pembangunan dapat disiapkan dengan jayanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kepentingan mengekalkan nilai-nilai murni yang diamalkan sepanjang Ramadan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi melambangkan kemenangan umat Islam dalam melawan hawa nafsu serta meningkatkan keimanan.
Beliau berharap agar semangat dan amalan baik yang dipupuk sepanjang Ramadan dapat diteruskan secara istiqamah demi membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin dan harmoni.
Oleh Adi Safarman