
BEIJING: Preskripsi pertama di dunia bagi rawatan antibodi monoklon untuk virus hepatitis D telah dikeluarkan baru-baru ini di sebuah hospital di Beijing, lapor Science and Technology Daily menurut Xinhua.
Kejayaan itu menandakan satu mercu tanda penting dalam penjagaan penyakit virus hepatitis di peringkat global.
Ubat yang dinamakan Libevitug itu dibangunkan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Tsinghua dengan kerjasama syarikat biofarmaseutikal yang berpangkalan di Beijing, Huahui Health. Ia merupakan antibodi monoklon pertama yang diluluskan untuk virus hepatitis di seluruh dunia, sekali gus mengisi jurang rawatan yang sekian lama wujud bagi satu daripada bentuk penyakit hati yang paling teruk itu.
Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan China memberikan kelulusan bersyarat pada Januari 2026 susulan semakan keutamaan.
Daripada lebih 254 juta pembawa hepatitis B kronik di seluruh dunia, kira-kira lima peratus dijangkiti bersama dengan virus hepatitis D. Pesakit yang mengalami jangkitan bersama ini sekian lama kekurangan terapi sasaran yang berkesan.
Libevitug berfungsi dengan menyekat virus hepatitis B dan D daripada memasuki sel hati. Ujian klinikal bagi ubat ini bermula pada 2018, manakala kajian pelbagai pusat antarabangsa dilancarkan pada 2023 dalam kalangan pesakit dengan jangkitan bersama yang kronik.
Keputusan klinikal menunjukkan keberkesanan ketara dalam tindak balas virologi dan normalisasi fungsi hati, dengan manfaat yang amat memberangsangkan bagi pesakit sirosis.
Tahun ini, sebanyak 10 ubat inovatif telah diluluskan untuk pemasaran di China.
-Bernama