
KOTA SAMARAHAN: Isu tekanan air rendah di kawasan Taman Samarindah dijangka dapat diatasi menerusi pembinaan tangki air aras tinggi (High Level Water Tank) dengan anggaran kos sekitar RM30 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, projek tersebut kini berada di peringkat pelantikan kontraktor selepas proses tender selesai dilaksanakan.
Menurut beliau, Taman Samarindah merupakan antara kawasan perumahan terbesar di Sarawak dengan lebih 5,000 rumah, sekali gus menyebabkan tekanan air menjadi rendah apabila penggunaan meningkat.
“Jadi tekanan air agak kurang apabila penggunaan tinggi. Sebab itu kerajaan negeri telah memutuskan untuk membina tangki air aras tinggi bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Stakan di Pusat Khidmat DUN Stakan, hari ini.
Dalam masa sama, Hamzah memaklumkan pihaknya turut berbincang dengan Kementerian Telekomunikasi dan Utiliti, Dato Sri Julaihi Narawi bagi mendapatkan penyelesaian jangka pendek.
Katanya, satu kajian sedang dijalankan untuk membina tangki sementara sebagai alternatif sementara menunggu projek utama dilaksanakan.
“Saya harap perancangan ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengurangkan masalah tekanan air di Samarindah,” ujarnya.
Tambah beliau, tapak projek telah dikenal pasti dan pelaksanaan dijangka bermula tahun ini.
Oleh Shahrul Qaizat