
PETRA JAYA: Sebanyak 93 peratus daripada sekitar 360 projek bekalan air di seluruh Sarawak telah siap atau sedang dilaksanakan setakat ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau berkata, keseluruhan projek tersebut melibatkan peruntukan hampir RM7 bilion oleh Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh sistem bekalan air di negeri ini.
“Daripada jumlah itu, sekitar RM5.9 bilion diperuntukkan bagi pembinaan dan naik taraf loji rawatan air serta pelaksanaan sistem grid di seluruh Sarawak.

“Manakala hanya kira-kira enam peratus projek masih di peringkat pra-pelaksanaan atau pra-kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka anjurannya di Taman Duranda di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan turut memperuntukkan RM1.1 bilion bagi kerja-kerja penggantian dan naik taraf paip sepanjang 2,740 kilometer dalam tempoh lima tahun.
Katanya, pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka meningkatkan liputan bekalan air di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar yang kini berada pada tahap sekitar 71 peratus.
“Secara purata, liputan bekalan air di Sarawak kini berada pada tahap sekitar 85 hingga 86 peratus dan dijangka terus meningkat apabila semua projek ini siap kelak,” jelasnya.
Mengulas mengenai cuaca panas, Julaihi berkata, bekalan air di seluruh Sarawak masih terkawal dan mencukupi tanpa sebarang laporan gangguan serius diterima setakat ini, termasuk sepanjang sambutan Hari Raya.
Namun, beliau berkata pihaknya sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan kemarau dengan menyediakan lori tangki air di seluruh negeri.
“Lori tangki ini disediakan oleh JBALB, Sarawak Water serta melalui sewaan bagi memastikan bekalan air dapat dihantar ke kawasan terjejas sekiranya berlaku kemarau,” katanya.
Tambah beliau, pemantauan berterusan turut dilakukan susulan jangkaan cuaca panas dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan program penggantian paip bertujuan mengurangkan kadar air tidak terhasil dalam tempoh lima tahun, sekali gus membantu memastikan bekalan air sampai kepada pengguna secara lebih efisien.
Oleh Shahrul Qaizat