
SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei (MDS) menyertai program Virtual Earth Hour 2026 bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Sarawak sebagai tanda komitmen terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar melalui inisiatif memadamkan lampu selama 60 minit pada malam tadi.
Program yang berlangsung dari 8.30 malam hingga 9.30 malam dianjurkan oleh Majlis Daerah Sri Aman dan disertai secara serentak oleh semua pihak berkuasa tempatan di seluruh Sarawak.
Menurut MDS, penyertaan tersebut turut melibatkan sembilan jabatan dan agensi di Bahagian Sarikei yang bersama-sama memadamkan lampu sebagai simbol sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan penggunaan tenaga secara berhemah.

“MDS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan, komitmen dan sumbangan dalam menjayakan usaha memadamkan lampu selama 60 minit sebagai tanda sokongan terhadap pemuliharaan alam sekitar.
“Antara jabatan dan agensi yang terlibat ialah Pejabat Residen Sarikei, Pejabat Daerah Sarikei, Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei, Jabatan Kastam Sarikei, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei, Jabatan Akauntan Negara Cawangan Sarikei, Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Sarikei di Dewan Suarah Sarikei, Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei dan Syarikat SESCO Berhad,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian telah menyampaikan ucapan secara maya dari Majlis Bandaraya Miri yang disaksikan oleh semua PBT di seluruh Sarawak.
Katanya, pelaksanaan program Earth Hour di Sarawak telah bermula sejak 2022 dan pertama kali dianjurkan di Sibu oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sebagai langkah memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.
Program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak bersama pihak berkuasa tempatan dalam menyokong agenda pembangunan mampan serta menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya penjimatan tenaga demi kesejahteraan generasi akan datang.
Oleh Earl Anek