BINTULU: ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’… Itu yang dapat disimpulkan terhadap seorang pesakit kanser yang kehilangan pekerjaan sejak lapan bulan lalu.
Nasib Buludi Chili, 40, itu umpama sudah jatuh ditimpa tangga kerana sukar untuk kembali bekerja sebagai pemandu lori berikutan menderita akibat kanser limfoma.
Beliau yang mempunyai seorang isteri serta empat anak yang berusia 2 hingga 13 tahun itu, kini sedang terlantar di kediaman mereka di Rumah Lani, KM 22 Jalan Semarakan Sekabai dekat Sebauh itu memohon bantuan orang ramai bagi membantu beban kewangan yang dihadapi keluarga Buludi.
Justeru, atas dasar keperihatinan dan kemanusiaan, Extrameal Bintulu tampil bagi melihat keadaan Buludi selepas mendapat mesej daripada beliau melalui laman sosial, Facebook baru-baru ini.
Pengasas Extrameal Bintulu, Francis Ngu Hown Hua berkata, beliau begitu bersimpati terhadap nasib yang menimpa keluarga tersebut apabila kini sedang menghadapi beban kewangan apabila tidak mempunyai pekerjaan sejak Februari tahun ini akibat penyakit yang dihadapinya.
“Bukan itu sahaja, bil elektrik, air, bayaran pinjaman motosikal serta pinjaman lain tertunggak selama lima bulan sebelum menjalani pembedahan yang dijalankan pada Mei lalu.
“Lebih malang, apabila beliau (Buludi) memerlukan perbelanjaan sebanyak RM50 sebagai tambang perjalanan beliau ke Hospital Bintulu bagi menjalani rawatan susulan,” katanya sambil menambah isterinya tidak mempunyai pekerjaan bagi menjaga suami serta anaknya.
Francis berkata, beliau turut menyarankan Buludi untuk mendapatkan bantuan sewajarnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bintulu serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menampung beban yamg dihadapi keluarga itu.
“Mereka (Buludi) ada berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada JKM Bintulu dan PERKESO, namun mereka tidak tahu cara untuk berurusan dengan agensi itu, lebih-lebih lagi mereka mengalami kesulitan pengangkutan.
“Lebih malang juga, kawasan rumah panjang yang mereka didiami itu tidak mendapat liputan rangkaian telefon,” jelasnya.
Francis Ngu berkata, pihaknya akan cuba membantu keluarga itu dan berharap agensi seperti JKM dan PERKESO akan meluluskan permohonan bantuan kepada keluarga itu.
“Pihak kami telah menghubungi dan berjumpa dengan kedua-dua agensi kerajaan itu dan berharap permohonan bantuan keluarga itu akan diluluskan dengan kadar segera,” ujar Francis Ngu.
Beliau menambah dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang dihadapi keluarga itu, berita mengenai mereka telah tular di Facebook, baru-baru ini.
“Selepas berita keluarga itu tular di Facebook, ramai individu, persatuan, kelab dan netizen lain yang berhasrat ingin membantu keluarga itu dengan pelbagai sumbangan yang ingin mereka sampaikan kepada keluarga Buludi.
“Syukur, nasib keluarga itu terus mendapat perhatian dan kami (Extrameal Bintulu) tidak ketinggalan membantu keluarga terbabit dengan menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai ke kediaman mereka,” katanya.
Kata Francis Ngu, mereka yang ingin memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga Buludi, diminta untuk menghubungi ditalian 013-6235218 (Buludi Chili) atau 013-2700336 (isteri Buludi).
Oleh Adi Safarman