LUNDU: Rata-rata penduduk di pekan Lundu dan pekan kecil Sematan menggesa supaya lebih banyak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta bank tempatan yang lain disediakan di Lundu.
Sekitar tinjauan Utusan Sarawak di Lundu semalam, salah seorang penduduk Anatasia Geres, 27 tahun berkata keadaan seperti menuggu giliran dalam satu barisan yang panjang bagi urusan bank di satu-satunya bank di pekan itu bukan sahaja berlaku semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
“Ianya turut terjadi setiap kali semasa hujung bulan, apabila masa menerima gaji dan juga lebih-lebih lagi di musm perayaan.
“Kami memang terpaksa berbaris panjang di bank bagi mengeluarkan wang tunai dan keadaan akan bertambah teruk jika hanya 2 daripda 4 ATM sahaja yang beroperasi,” katanya.
Beliau menambah ianya adalah sangat perlu bagi mesin ATM diperbanyakkan untuk penduduk di Sematan dan Lundu.
“Rakyat di Lundu semakin bertambah, oleh itu empat ATM memang tidak mencukupi,” katanya.
Kristina Kloho, 32 tahun pula berkata untuk memudahakn urusan setiap orang, khidmat tambahan ATM dan bank tempatan lain memang amat diperlukan.
“Sekurang-kurangnya, sediakan perkhidmatan ATM bank Maybank atau Bank Simpanan Nasional (BSN). Jika dilihat juga, agak ramai penduduk disini pengguna bank BSN,” katanya.
Sapherra Lieyma Enggi, 24 tahun turut menyuarakan pandangan tentang keperluan perkhidmatan tambahan ATM, DCM dan bank di pekan itu.
“Kadang-kadang masalah seperti mesin rosak ataupun tergendala menyebabkan orang ramai terpaksa berpatah balik.
“Dan untuk sistem mesin kembali pulih sedia kala bakal memakan masa yang agak lama ,iaitu dalam 2 hingga 3 hari, keadaan ini amat menyukarkan penduduk jika terdapat kecemasan,” katanya.
Katanya lagi, di salah sebuah stesen minyak di pekan Lundu, terdapat sebuah mesin ATM namun sering bermasalah.
“Penduduk juga sering membuat aduan namun keadaanya tetap sama,” katanya lagi.