
SPAOH: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membantu golongan yang layak membaiki rumah di Kampung Spaoh, sebagai usaha berterusan kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kediaman yang lebih selesa dan selamat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan penduduk luar bandar terus diberi perhatian, khususnya dalam aspek perumahan.
Menurut beliau, bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk yang memerlukan, sekali gus membantu memperbaiki kualiti hidup mereka dengan kediaman yang lebih kondusif.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat Spaoh agar terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, sokongan berterusan rakyat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri serta tuntutan hak Sarawak dapat diteruskan secara lebih berkesan demi kepentingan bersama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Spaoh yang berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat setempat, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengekalkan subsidi diesel di Sarawak pada kadar RM2.15 seliter, yang dilihat membantu meringankan beban rakyat terutama di kawasan luar bandar.
Selain itu, beliau menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada sepanjang musim kemarau bagi mengelakkan kejadian kebakaran yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.
Dalam majlis tersebut, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Spaoh melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid serta surau.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Richard Rapu bersama isteri Datin Lucy Mary Johnson, Datin Amar Dato Doreen Mayang, Timbalan Ketua Cawangan PBB Bukit Saban Abang Madehi Abang Abdul Latip serta ketua masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman