QUANG NAM: Seramai 16 orang maut dan berpuluh-puluh lagi dilaporkan hilang semalam dalam kejadian tanah runtuh akibat Taufan Molave yang terus membadai tengah Vietnam.
Susulan itu, usaha dilancarkan bagi mencari mangsa yang terselamat ketika negara ini bergelut dengan keadaan cuaca paling buruk dalam tempoh bertahun-tahun.
Taufan Molave melanda perkampungan di wilayah tengah, semalam, menyebabkan dua mangsa terkorban, pokok tumbang dan bumbung rumah diterbangkan ribut.
Selain itu, ia turut membawa hujan lebat ke kawasan yang sudahpun teruk terjejas dengan bencana banjir selama berminggu-minggu.
Menurut pihak berkuasa, susulan dua insiden tanah runtuh berasingan, semalam, 53 orang dilaporkan hilang di dua perkampungan di wilayah Quang Nam.
Media negara ini pula melaporkan, mayat 16 mangsa yang ditimbus lumpur, telah ditemui dan dikeluarkan, setakat ini.
“Ini adalah kejadian amat serius dengan ramai mangsa tertimbus.
“Anggota penyelamat berdepan cabaran laluan yang sangat sukar untuk mengakses lokasi insiden,” kata Timbalan Perdana Menteri, Trinh Dinh Dung.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa anggota tentera ialah antara pasukan penyelamat yang bertungkus lumus untuk tiba di lokasi kejadian dengan terpaksa menempuh laluan dihalang pokok tumbang dan timbunan lumpur.
Taufan Molave adalah bencana keempat seumpama itu yang melanda Vietnam, bulan ini.
Ia menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memindahkan kira-kira 375,000 penduduk, membatalkan ratusan penerbangan dan menutup sekolah serta pantai.
Taufan terbabit membawa hujan lebat ke selatan Danang bersama angin kencang dengan kelajuan mencecah 145 kilometer sejam sebelum kekuatannya menurun, semalam.
Vietnam yang kini dilanda banjir, mula memindahkan lebih setengah juta penduduknya dari wilayah pesisir tengah yang berdepan taufan Molave, ribut keempat di dalam tempoh beberapa minggu di negara itu.
Sekolah dan pantai ditutup, malah beberapa penerbangan juga dibatalkan menjelang ketibaan taufan berkenaan.
Sekitar 178,000 rumah sudah ditenggelami air, kata Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah.
Sebelum ini, lebih 500,009 penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, kata Jabatan Pengurusan Bencana Vietnam.
Timbalan Ketua Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan Vietnam, Hoang Phuc Lam, berkata Molave menjadi ribut terburuk yang memiliki angin paling kuat dalam tempoh 20 tahun, menurut laporan media tempatan.
Vietnam terdedah pada bencana alam pada musim hujan antara Jun dan November dengan wilayah pesisir tengah antara yang selalu terkesan teruk dengan kejadian itu. – AFP