Linut atau juga dikenali sebagai Ambuyat adalah sejenis makanan tradisional bagi masyarakat tempatan di Sarawak seperti kaum Melanau, Penan dan Orang Ulu malah menjadi sajian utama selepas nasi.
Jika dilihat suatu ketika dahulu linut dimakan untuk menggantikan makanan ruji disebabkan kekurangan penghasilan beras suatu ketika dahulu.
Suatu ketika dulu ia dihidangkan sebagai menu harian dan hidangan wajib semasa hari-hari istimewa seperti hari keramaian kaum berkenaan malah hidangan ini juga menjadi santapan utama sekiranya ada jiran-jiran yang bertandang ke rumah.
Hidangan yang diperbuat daripada pokok rumbia itu amat terkenal di Sabah, Sarawak dan Brunei.
Kaum Murut, dan Dusun juga amat meminati makanan ini yang dipanggil Ambuyat bagi masyarakat di situ.
Untuk menghasilkan tepung sagu, banyak proses yang perlu dilalui di antaranya proses mengarut yang mana memerlukan sehari perlu dilakukan.
Bagaimanapun, hari ini tepung sagu boleh didapati di pasar atau tamu dalam bentuk paket dengan harga antara RM2 hingga RM4 sebungkus.
Jika dilihat secara kasar, penyediaan linut terlihat mudah namun hakikatnya ia perlu dimasak dengan menggunakan suhu air yang betul untuk memastikan adunan yang dihasilkan lekit dengan betul sebelum sedia dimakan.
Bagi penggemar makanan tradisional Cecelia Lahai Wan, 51, berkata, proses membuat linut bermula dengan hanya dua bahan sahaja iaitu air panas dan tepung sagu.
“Tepung sagu yang dibeli dalam bentuk paket perlu dileraikan atau dihancurkan.
“Dengan sukatan air panas, tepung sagu berkenaan dikacau hingga menjadi kenyal.
“Linut hanya berwarna jernih dan sedikit melekit dan hanya ditelan sahaja.
“Rasanya tawar, namun ia bergantung pada sambal atau hidangan sampingan seperti sambal (masam atau pedas), ulam-ulaman, ikan bakar dan lauk pauk,” katanya.
Kebiasaanya linut dimakan menggunakan sejenis kayu penyepit yang dikenali sebagai candas untuk memudahkan makan linut.
Cecelia berkata, Linut sangat enak dimakan semasa ia masih panas dan dicicah dengan ikan bakar, sambal yang pedas dan ulam-ulaman.
Pada kebiasaannya, kata Cecelia, linut dimakan beramai-ramai, sekali gus dapat mengerat silaturahim dan hubungan sesama keluarga mahupun penduduk kampung.
“Linut dimakan bersama-sama sebagai hidangan makan tengahari bagi menggantikan nasi.
Paling menarik semasa kita berebut-rebut mengambilnya dan dicicah dengan lauk,” katanya.
Oleh Jeakqleyn Yacho