Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Raya di Sarawak: Tujuh hari tujuh malam yang penuh jiwa
  • RENCANA

Raya di Sarawak: Tujuh hari tujuh malam yang penuh jiwa

Utusan Sarawak 20 hours ago
RAYA di Sarawak bukan sekadar sehari, tujuh hari tujuh malam penuh kunjungan, tradisi dan keikhlasan yang menghidupkan jiwa.

ADA sesuatu yang sangat istimewa tentang Aidilfitri di Sarawak. Ia bukan sekadar satu hari perayaan, bukan juga sekadar kunjung-mengunjung biasa. Di sini, raya itu hidup dan bernafas dalam suasana kampung, dalam gelak tawa manusia, dalam keikhlasan hati yang membuka pintu tanpa syarat.

Kalau sebut raya di Sarawak, satu sahaja yang terlintas. Bukan sehari tapi tujuh hari tujuh malam. Itu pun kalau rajin, boleh jadi lebih.

Di tempat lain orang kira raya pertama, kedua, ketiga tapi di Sarawak, hari ke berapa pun kadang-kadang kita sendiri sudah tidak pasti dan yang penting, masih makan dan masih beraya.

Dari dulu lagi, budaya di sini cukup unik. Rumah sentiasa terbuka. Tidak perlu tunggu jemputan, tidak perlu RSVP. Datang sahaja, insya-Allah ada makanan.

Kadang tuan rumah pun tidak kenal siapa yang datang tapi tetap disambut dengan senyuman. Itu standard Sarawak iaitu lagi ramai, lagi meriah.

Rumah Terbuka

Sejak dahulu lagi, rumah di Sarawak tidak pernah sunyi ketika Syawal menjelma. Pintu sentiasa terbuka, langsir diselak dan senyuman sentiasa tersedia untuk sesiapa sahaja yang datang.

Tidak kira siapa, dari mana, apa latar belakangnya, semuanya disambut sebagai tetamu yang membawa berkat.

Budaya “rumah terbuka” yang kini menjadi kebiasaan di kebanyakan tempat sebenarnya sudah lama sebati dalam kehidupan masyarakat Sarawak. Bezanya, di sini ia bukan program terancang, tetapi cara hidup.

Mengimbau kembali zaman akhir 60-an dan awal 70-an, khususnya di Sibu, raya bagi kanak-kanak bukan sekadar pakai baju baru. Ia macam satu “mission impossible”.

Orang tua-tua pesan, kalau dapat ziarah lebih 40 buah rumah, lengkaplah raya. Jadi bayangkan budak-budak kecil berusaha menziarahi dari satu rumah ke satu rumah bukan sebab lapar tapi sebab hendak mencukupkan “quota raya”.

Bukan angka itu yang penting, tetapi semangat di sebaliknya iaitu memperbanyakkan kunjungan, memperbanyakkan kemaafan dan mempereratkan hubungan sesama manusia.

Setiap rumah yang diziarahi bukan sekadar tempat singgah. Ia ruang untuk merendah diri, memohon maaf dan menghulur salam penuh keikhlasan.

Anak-anak diajar untuk tunduk hormat, menyapa dengan sopan dan menghargai setiap layanan yang diberikan.

Tanpa sedar, semua itu membentuk jiwa dan mendidik tentang adab, tentang kasih, serta tentang nilai manusiawi yang semakin jarang ditemui hari ini.

Hidangan Raya

Hidangan pula menjadi satu lagi cerita yang tidak kurang hebatnya. Meja dipenuhi dengan pelbagai jenis kek dan biskut, tersusun rapi seolah-olah satu karya seni.

Air gas pelbagai warna dan rasa menjadi minuman wajib, menambah seri suasana. Tetapi yang paling menarik, ada satu tradisi yang cukup unik iaitu “kek kepala meja”.

Kek ini bukan biasa-biasa tetapi simbol penghormatan. Tetamu yang dianggap istimewa akan diberi peluang memotong kek tersebut.

Satu penghargaan yang halus, tetapi cukup bermakna. Ini kek VIP. Tetamu tertentu sahaja yang dapat potong. Kita budak-budak tengok saja dari jauh sambil berharap,  “kalau boleh potong sikit pun jadilah”.

Zaman itu juga menyaksikan betapa hebatnya tangan orang tua kita. Orang dulu memang luar biasa. Kek bukan dibeli, biskut bukan ditempah tapi semua dari dapur sendiri.

Anak-anak pula bukan duduk main, tapi jadi “assistant chef”. Ada yang menolong mengacau adunan, ada yang menolong menyusun biskut dan ada juga yang menolong makan awal (ini paling jujur sebab mereka tidak berpuasa).

Sekarang? Anak-anak lebih sibuk dengan telefon. Dapur sunyi. Kuih semua dibeli. Senang memang senang tapi rasa itu lain. Dulu kita penat sama-sama, sekarang kita hanya buka bekas sama-sama.

Masa dulu, dapur menjadi medan utama menjelang raya. Anak-anak tidak terlepas daripada membantu, atau sekadar memerhati dengan penuh minat. Setiap detik itu sebenarnya membina kenangan yang kekal hingga ke hari ini.

Tradisi membantu di dapur semakin pudar, digantikan dengan kemudahan membeli. Kuih lapis, biskut raya, semuanya boleh didapati di kedai tanpa perlu bersusah payah.

Segala-galanya menjadi mudah, tetapi dalam kemudahan itu, ada sesuatu yang perlahan-lahan hilang iaitu nilai kebersamaan.

Budaya Rumah Terbuka

Namun begitu, satu perkara yang masih kekal dalam ingatan ialah layanan tuan rumah. Walaupun tetamu yang datang hanyalah kanak-kanak, mereka tetap dilayan dengan penuh hormat.

Satu lagi yang tidak boleh dilupakan iaitu layanan tuan rumah. Walaupun kita datang sebagai budak kecil, tetap dilayan macam tetamu kehormat. Soalan standard pasti keluar:  “Anak siapa?”, “Sekolah mana?”, “Rumah di mana?”

Kadang kita sendiri terkejut apabila mereka kenal ibu bapa kita lebih daripada kita kenal mereka. Dari situ terasa satu perkara di mana dulu, hubungan manusia itu dekat dan bukan sekadar kenal nama, tapi kenal asal-usul. Dari situlah terasa betapa rapatnya hubungan dalam masyarakat ketika itu.

Keindahan raya di Sarawak juga terserlah melalui kepelbagaian masyarakatnya. Yang paling indah, raya di Sarawak bukan hanya untuk satu kaum.

Semua datang dan meraikan bersama dalam kalangan orang Melayu, Melanau, Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain. Rumah kita, rumah mereka dan semua jadi satu.

Tidak perlu dijemput pun, masing-masing faham bahawa raya ini untuk diraikan bersama.

Suasana ini mencerminkan tahap toleransi yang tinggi iaitu satu keharmonian yang lahir secara semula jadi, tanpa dipaksa. Raya menjadi milik semua, bukan hanya satu kelompok.

Hiasan Malam Raya

Selain ziarah dan jamuan, suasana malam juga tidak kurang meriahnya. Kampung-kampung dihiasi dengan lampu berwarna-warni melalui konsep yang dikenali sebagai “bertuntung”.

Setiap rumah berlumba-lumba mencantikkan halaman dengan kreativiti masing-masing. Ada yang sederhana, ada yang luar biasa tetapi semuanya menyumbang kepada suasana yang cukup memukau dan persekitaran yang berwarna warni.

Bagi golongan muda pula, permainan tradisional seperti “bedil buluh” menjadi hiburan utama. Bunyi letupannya bergema di seluruh kampung, mencipta suasana yang riuh tetapi menyeronokkan.

Walaupun kini banyak digantikan dengan mercun moden, masih ada kampung yang mengekalkan tradisi ini sebagai warisan.

Raya Penuh Kenangan

Hakikatnya, terlalu banyak cerita yang boleh dikongsi tentang raya di Sarawak. Setiap sudut mempunyai kenangan, setiap detik mempunyai makna. Siang dan malam dipenuhi dengan kegembiraan yang berterusan.

Walaupun kini konsep rumah terbuka lebih teratur dan dijadualkan, semangat asalnya masih terasa selagi Syawal belum berakhir, selagi itu pintu hati dan rumah tetap terbuka.

Ada juga yang mempersoalkan tentang kos. Tidak dinafikan, menyediakan jamuan untuk tetamu yang tidak putus-putus memerlukan perbelanjaan.

Memang kalau difikirkan, semua ini perlukan belanja. Orang pun selalu tanya, “Tidak mahal kah?”. Jawapannya mudah, memang ada kos, tapi nilai kegembiraan itu jauh lebih mahal.

Lagipun, budaya sambutan raya ini sudah lama sebati dalam masyarakat Islam Sarawak. Sudah tentu 11 bulan sebelum perayaan, orang kita ada menyimpan sedikit demi sedikit setiap bulan.

Bila raya tiba, kita berbelanja dengan senyum, bukan dengan tekanan. Yang penting bukan siapa paling mewah, tapi siapa paling ikhlas menyambut tetamu.

Masyarakat Islam Sarawak juga melihat nilai yang diperoleh jauh lebih besar daripada wang yang dibelanjakan.

Kegembiraan, hubungan yang terjalin dan kenangan yang tercipta semuanya tidak ternilai.

Perancangan Mengekal Tradisi Beraya

Dalam menghadapi kos hidup yang semakin meningkat, pendekatan berhemah menjadi kunci. Perancangan awal, simpanan bulanan dan pengurusan bajet yang bijak membolehkan tradisi ini terus hidup tanpa membebankan.

Raya bukan tentang kemewahan semata-mata, tetapi tentang bagaimana kita menghargai dan meraikan kehidupan bersama orang lain.

Akhirnya, raya di Sarawak bukan sekadar perayaan. Ia adalah pengalaman. Ia adalah rasa. Ia adalah kenangan yang terukir dalam jiwa.

Dari langkah kecil menziarahi rumah ke rumah, hingga kepada cahaya lampu yang menerangi malam kampung dan semuanya membentuk satu kisah yang sukar dilupakan.

Dan bagi sesiapa yang pernah merasainya, satu perkara yang pasti adalah raya di Sarawak bukan hanya dirayakan tapi ia dihidupkan.

Wallahu ‘alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Syawal menyapa: Kembali kepada fitrah, menyulam kasih sayang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.