
SARATOK: Tindakan nekad seorang penganggur menyembunyikan sebuah kereta Perodua Kancil yang dicurinya di dalam sebuah ladang sawit akhirnya membawa padah apabila dia berjaya ditangkap polis di kawasan Sessang, Kabong, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek lelaki tempatan berusia 27 tahun itu ditahan susulan laporan yang dibuat oleh seorang pesara berusia 71 tahun pada awal bulan Mac ini.
Mangsa melaporkan kenderaan miliknya hilang selepas diletakkan dalam keadaan berkunci di kawasan Ulu Roban.
Hasil siasatan awal mendapati suspek bergerak dari rumahnya di Krangas, Roban dengan niat untuk mencuri kenderaan tersebut.
Suspek mendedahkan bahawa dia menggunakan sekeping dawai untuk membuka pintu kereta sebelum bertindak mencabut kepala kunci menggunakan pemutar skru bagi menghidupkan enjin kenderaan berkenaan.


Polis turut merampas semula kereta Perodua Kancil berwarna emas tersebut bersama peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah, termasuk pemutar skru dan seutas dawai besi sepanjang 170 sentimeter di sebuah jalan ladang di kawasan Sungai Pasir.
Selain pengakuan mencuri kereta, hasil soal siasat lanjut mendapati suspek turut terlibat dalam kes kecurian motosikal di Jambatan Empaong, Roban.
Suspek mengaku telah meleraikan komponen motosikal tersebut dan menyimpannya di kediaman beliau.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah sedia ada berkaitan kecurian dan penyalahgunaan dadah.
Malah, hasil ujian saringan air kencing terbaharu menunjukkan suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut mengenai penglibatannya dalam kes jenayah lain di sekitar daerah ini.
Oleh Adi Safarman