
BAU: Mahkamah Majistret Bau telah bersidang pada 26 hingga 27 Mac bagi mendengar kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, kata Ketua Polis Daerah Bau Supt Mohd Haide Bin A Rahman.
Beliau berkata sebanyak 30 kertas siasatan telah dituduh melibatkan 23 individu di bawah Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM3,500. Bagi yang gagal membayar denda, hukuman penjara antara enam hingga 11 bulan dikenakan, selain pengawasan selama dua tahun,” katanya.
Menurutnya, terdapat individu yang menghadapi sehingga tiga pertuduhan di bawah seksyen yang sama.
Sementara itu, tujuh individu mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) akta sama.
“Mereka dikenakan denda antara RM2,800 hingga RM4,100, dengan hukuman penjara lima hingga tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda,” katanya.
Beliau berkata sidang litar mahkamah bagi bulan ini diadakan pada minggu keempat untuk mendengar kes berkaitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Bin Suriani di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Oleh Connie Chieng