Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Penduduk pedalaman, luar bandar Sarawak tarik nafas lega subsidi diesel kekal
  • TEMPATAN

Penduduk pedalaman, luar bandar Sarawak tarik nafas lega subsidi diesel kekal

Utusan Sarawak 6 hours ago

KUCHING: Langkah kerajaan mengekalkan subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak memberi kelegaan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada bahan api itu bagi kelangsungan hidup.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter dengan penggunaan terkawal bagi mengekang ketirisan.

Bagi pekebun kecil, Jenta Beta, 55, yang mengusahakan kebun sawit di kawasan pedalaman, kenderaan pacuan empat roda berasaskan diesel merupakan nadi utama untuk mengangkut hasil tani serta bergerak keluar ke pekan berhampiran.

“Jika harga minyak naik tanpa subsidi, kami memang sangat terkesan, kenderaan ini bukan sahaja untuk kerja, tetapi juga untuk urusan harian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata majoriti penduduk di kawasan pedalaman dalam kategori B40 amat bergantung kepada diesel kerana faktor keadaan jalan raya dan keperluan kerja, sekali gus menjadikan kestabilan harga bahan api itu amat penting.

Seorang kontraktor, Ritchie Monde, 41, turut menzahirkan rasa syukur dengan keprihatinan kerajaan dalam mengambil kira realiti kehidupan penduduk di pedalaman Sarawak.

“Jika tiada subsidi, barang keperluan akan jadi semakin mahal dan rakyat miskin akan semakin tertekan. Mungkin ini masa yang sesuai untuk mempertimbangkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi penduduk di bandar, namun bagi mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman, ia masih sukar dilaksanakan,” katanya.

Turut senada seorang lagi pekebun, Bejau Japang, 52, yang menyifatkan langkah itu membantu memastikan kelancaran pergerakan, khususnya bagi mereka yang sering berulang-alik dari Sibu ke kawasan lain di wilayah tengah dan utara Sarawak.

“Golongan pekebun kecil sawit mendapat manfaat besar kerana kos logistik untuk mengangkut hasil ke pusat belian kekal terkawal, biasanya kos sekitar RM50 hingga RM70 bergantung kepada jarak.

“Sekiranya harga diesel meningkat, kos pengangkutan juga akan naik dan secara langsung mengurangkan pendapatan pekebun kecil, selain memberi kesan rantaian kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan keperluan, terutama di kawasan pedalaman seperti Kapit, Belaga serta kawasan pesisir,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Catuan diesel ancam kecekapan logistik pertanian
Next: GoBald 2026 perkukuh solidariti bantu kanak-kanak pesakit kanser

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.