Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Catuan diesel ancam kecekapan logistik pertanian
  • TEMPATAN

Catuan diesel ancam kecekapan logistik pertanian

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENGARAH Pertanian Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuching, Loh Siaw Kuei.

KUCHING: Pelaksanaan dasar catuan diesel secara berperingkat mulai 1 April ini menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan operasi sektor pertanian di Sarawak walaupun kerajaan mengekalkan subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter di negeri ini dan Sabah.

Pengarah Pertanian Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuching, Loh Siaw Kuei berkata, langkah tersebut yang bertujuan membendung penyalahgunaan dan penyeludupan bahan api kini mula memberi kesan nyata kepada operasi pertanian di negeri ini.

Menurutnya, landskap pertanian Sarawak yang melibatkan kawasan luas, kepadatan penduduk rendah serta lokasi pengeluaran yang berselerak dan jauh menjadikan sektor itu sangat bergantung kepada diesel, khususnya bagi tujuan pengangkutan dan logistik.

Beliau menjelaskan, dasar baharu yang mengehadkan pengisian diesel mengikut jenis kenderaan kepada 50, 100 atau 150 liter setiap kali isi minyak dijangka menjejaskan kecekapan pengangkutan secara ketara.

“Operasi pertanian memerlukan kesinambungan dan ketepatan masa, terutama bagi hasil segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan laut. Kekangan pengangkutan yang memerlukan kenderaan kerap mengisi minyak akan menjejaskan kesegaran produk serta kestabilan bekalan pasaran,” katanya.

Tambah beliau, walaupun dasar tersebut tidak menaikkan harga diesel, ia meningkatkan kos masa dan beban logistik kepada pengusaha, khususnya petani kecil dan sederhana serta perniagaan agro.

Katanya lagi, diesel turut digunakan secara meluas untuk jentera pertanian seperti pam air, generator dan peralatan ladang, justeru sebarang kekangan bekalan boleh mengganggu jadual pengeluaran harian.

Beliau turut memberi amaran bahawa kekangan bahan api ini akan memberi kesan berantai kepada rantaian bekalan termasuk peningkatan kos pengangkutan, turun naik harga borong dan akhirnya membebankan pengguna.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengambil kira faktor geografi dan struktur industri Sarawak dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api, selain mengelakkan pendekatan seragam.

“Kerajaan perlu mengekalkan komunikasi dengan sektor pertanian serta mempertimbangkan mekanisme khusus atau fleksibel bagi pengangkutan pertanian bagi memastikan kelancaran operasi dan jaminan bekalan makanan,” tegasnya.

Beliau menambah, tanpa langkah fleksibiliti dan sokongan sewajarnya, kos operasi petani dijangka meningkat, harga hasil pertanian menjadi tidak stabil serta menjejaskan bekalan makanan tempatan dalam jangka panjang.

Continue Reading

Previous: Persidangan Pemandu Pelancong Asia Tenggara perkukuh industri pelancongan Sarawak
Next: Penduduk pedalaman, luar bandar Sarawak tarik nafas lega subsidi diesel kekal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.