
SIBU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhi hukuman penjara empat bulan terhadap seorang lelaki yang mencederakan bekas suami kekasihnya dengan menggunakan sebilah pisau.
Majistret Romario Jonoi yang mendengar serta menerima pengakuan bersalah tertuduh, Maxwell Milak, 23, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabit kesalahan.
Terdahulu, Maxwell dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada bekas suami kekasihnya yang berusia 32 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pada 21 Mac 2026, sekitar jam 6.48 petang di perkarangan sebuah rumah di Jalan Chong Sang.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu telah pergi ke sebuah rumah di Jalan Chong Sang untuk bertemu dengan anak-anaknya.
Namun setiba di rumah terbabit, pengadu telah bertengkar dengan seorang lelaki iaitu tertuduh, yang dipercayai teman lelaki bekas isterinya.
Ketika pertengkaran itu, lelaki terbabit telah mencederakan pengadu di bahagian pipi dengan menggunakan senjata tajam.
Pada 22 Mac 2026, sekitar jam 1.00 pagi, pihak polis telah menahan tertuduh di rumah sama di Jalan Chong Sang bagi membantu siasatan serta merampas sebilah pisau sepanjang 19 sentimeter.
Siasatan yang dijalankan mendapati pengadu telah terlebih dahlu menumbuk tertuduh di bahagian muka yang kemudian menyebabkan tertuduh menghayun pisau ke arah pipi kanan pengadu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Sokolinkam Changgan sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh Akun Giman