
MIRI: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, mengadakan ziarah Aidilfitri ke kediaman beberapa wakil rakyat di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut dimulakan dengan lawatan ke rumah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Rosey Yunus di Taman Bumiko pada 10.30 pagi.
Ketibaan rombongan Tun Wan Junaidi disambut meriah dengan persembahan pencak silat, selain kehadiran masyarakat pelbagai kaum yang tidak melepaskan peluang merakam kenangan sempena kunjungan tersebut.

Rosey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, bersama suaminya Abit Sulong turut menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah.
Terdahulu, Tun Wan Junaidi dan isteri memulakan ziarah dengan mengunjungi kediaman Temenggong Abang Mohamed Abang Othman di Jalan Kampung Luak.
Rombongan kemudian meneruskan ziarah ke kediaman Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga ADUN Lambir, Ripin Lamat di Jalan Sakura, sebelum mengakhiri lawatan di rumah Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni di Jalan Bakam.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pengangkutan, Lee Kim Shin; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Sebastian Ting Chiew Yew; ADUN Pujut yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii serta ADUN Telang Usan, Dennis Ngau.
Oleh Adum Liu