
SIBU: Operasi pemadaman kebakaran belukar seluas sekitar 16 hektar berhampiran Institut Memandu Ngu Chung Beng kini dipergiat dengan penglibatan 50 anggota daripada pelbagai agensi bagi mengawal api daripada terus merebak.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu, Andy Alie berkata, operasi hari ini merupakan kesinambungan usaha terdahulu selepas kekangan akses ke lokasi berjaya diatasi dengan bantuan jentera.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 23 Mac lalu, namun pasukan menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan berkenaan kerana kedudukannya kira-kira dua kilometer dari laluan utama serta ketiadaan akses yang sesuai.

“Dengan bantuan pelbagai agensi termasuk JPS yang membuka laluan menggunakan jengkaut, kita kini dapat melaksanakan operasi pemadaman secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu membabitkan kerjasama JBPM, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pasukan sukarelawan.
Tambahnya, operasi dibahagikan kepada tiga sektor iaitu A, B dan C bagi memastikan pergerakan api dapat dikawal dengan lebih sistematik dan berkesan.
“Pasukan juga perlu menyeberangi anak sungai sebelum melaksanakan kaedah serangan defensif dan serangan langsung,” jelasnya.
Andy berkata, pembahagian sektor dan penugasan anggota telah diselesaikan sekitar jam 9 pagi dan operasi kini berjalan lancar di semua sektor.
Dalam pada itu, pemantauan berterusan akan dilaksanakan dengan penyesuaian strategi mengikut keadaan semasa bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.
Oleh Tarani Lanting