
BAU: Sebanyak lima kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Kanun Keseksaan telah diputuskan di Mahkamah Majistret Bau.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide Bin A Rahman berkata, dua kes telah dijatuhkan hukuman denda RM2,500 setiap satu dan telah dijelaskan, manakala dua lagi kes diputuskan sebagai DNAA.
Beliau berkata, satu lagi kes melibatkan seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
“Pihak polis kekal komited dalam membanteras kegiatan perjudian dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.
Oleh Connnie Chieng