
BEKENU: Isu pencemaran dan kerosakan kemudahan awam di Pantai Bungai terus mencetuskan kebimbangan apabila segelintir pengunjung didapati meninggalkan sampah serta merosakkan harta benda yang disediakan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, melahirkan kekecewaan terhadap sikap tidak bertanggungjawab tersebut, khususnya kegagalan menjaga kebersihan dan menghargai kemudahan awam.
Menurutnya, Pantai Bungai dibuka kepada orang ramai sebagai lokasi rekreasi yang selesa, lengkap dengan kemudahan seperti meja, bangku dan tempat memanggang.

Namun, katanya, terdapat pengunjung yang bertindak mengambil dan menggunakan kayu daripada kemudahan tersebut sebagai bahan bakar, sekali gus merosakkannya.
“Perkara ini amat memalukan. Mengunjungi tempat orang harus disertai dengan adab dan tertib.
“Jangan membawa sikap sambil lewa seolah-olah berada di tempat sendiri tanpa memikirkan kepentingan awam,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, sikap tidak menghargai kemudahan awam bukan sahaja mencemarkan imej kawasan pelancongan, malah menjejaskan keselesaan pengunjung lain.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama menjaga kebersihan dan memelihara kemudahan yang disediakan supaya Pantai Bungai kekal sebagai destinasi rekreasi yang indah dan selesa.
Dalam pada itu, penduduk setempat berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap individu yang melakukan vandalisme bagi mengelakkan kejadian sama berulang
Tinjauan Utusan Sarawak ke Pantai Bungai hari ini mendapati sebahagian besar sampah sarap yang dilaporkan semalam telah dibersihkan oleh pekerja kontrak Majlis Daerah Subis.
Oleh Adum Liu