Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Syawal menyapa: Kembali kepada fitrah, menyulam kasih sayang
  • RENCANA

Syawal menyapa: Kembali kepada fitrah, menyulam kasih sayang

Utusan Sarawak 13 hours ago
MUDA Abdullah, 68 (duduk, kiri) bersama isteri, Khatijah Said, 62, (duduk, dua kiri) menyambut Aidilfitri dengan bersalaman bersama cucu-cucunya di Kampung Tok Dir baru-baru ini. Setiap kali menjelang Aidilfitri, keluarga besar itu tidak pernah melepaskan peluang mengekalkan tradisi memakai pakaian sedondon sebagai simbol kebersamaan serta keharmonian dalam kalangan mereka. Muda berkata amalan yang diteruskan setiap tahun itu bukan sahaja menceriakan suasana pagi Syawal, malah mencerminkan nilai kasih sayang serta perpaduan yang utuh dalam keluarga berkenaan. Katanya, tradisi itu bermula sejak 2018 dan masih diteruskan hingga kini sebagai satu cara mengekalkan hubungan erat dalam kalangan ahli keluarga. Foto BERNAMA

KEDATANGAN bulan Syawal sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam di serata dunia.

Setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, Syawal hadir sebagai tanda kemenangan bagi mereka yang berjaya menundukkan hawa nafsu dan meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT.

Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi merupakan satu manifestasi kesyukuran atas nikmat iman dan Islam serta peluang untuk kembali kepada fitrah yang suci.

Perkataan “fitrah” membawa maksud keadaan asal manusia yang bersih daripada dosa. Dalam konteks Aidilfitri, ia melambangkan kembalinya seorang hamba kepada kesucian jiwa setelah melalui proses tarbiah sepanjang Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah, dan ibu bapanyalah yang mencorakkan kehidupannya.

Justeru, Aidilfitri menjadi peluang untuk memperbaharui diri, meninggalkan dosa-dosa lama, serta memulakan kehidupan yang lebih diredhai Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy-Syams: 9-10)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kejayaan sebenar seorang Muslim bukan terletak pada kemewahan atau keseronokan dunia semata-mata, tetapi pada kejayaan membersihkan hati dan jiwa daripada sifat-sifat mazmumah seperti iri hati, dendam, dan sombong.

Oleh itu, Syawal harus dijadikan titik permulaan untuk mengekalkan kesucian hati yang telah diasuh sepanjang Ramadan.

Namun, realiti masyarakat hari ini kadangkala memperlihatkan bahawa sambutan Aidilfitri lebih tertumpu kepada aspek luaran seperti pakaian baharu, juadah yang mewah, dan persiapan rumah.

Walaupun semua itu tidak salah, tetapi ia tidak seharusnya mengaburi tujuan utama Aidilfitri. Hakikat sebenar perayaan ini adalah untuk mensyukuri nikmat Allah dan memperbaiki hubungan sesama manusia.

Lebih penting lagi, Aidilfitri mengajar kita tentang erti kemaafan. Tradisi memohon maaf bukan sekadar budaya, tetapi merupakan satu tuntutan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim untuk memulau saudaranya lebih daripada tiga hari.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menegaskan betapa pentingnya menjaga hubungan silaturrahim dan menghindari permusuhan. Syawal adalah masa terbaik untuk membuang segala dendam dan membuka lembaran baharu dalam hubungan sesama insan.

MENGHIDUPKAN SEMANGAT FITRAH DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN 

Selepas berlalunya Ramadan, cabaran sebenar bagi seorang Muslim adalah untuk mengekalkan amalan baik yang telah dilakukan sepanjang bulan tersebut. Ramadan mendidik kita untuk bangun malam, membaca al-Quran, bersedekah, dan mengawal diri daripada perkara yang dilarang. Namun, semua amalan ini tidak seharusnya terhenti apabila masuknya Syawal.

Sebaliknya, Syawal perlu dijadikan medan untuk meneruskan momentum ibadah. Antara amalan yang digalakkan ialah puasa enam hari di bulan Syawal, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Amalan ini bukan sahaja memberi ganjaran pahala yang besar, tetapi juga membantu mengekalkan disiplin diri yang telah dibina sepanjang Ramadan. Selain itu, istiqamah dalam melakukan kebaikan adalah tanda bahawa ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

Dalam kehidupan seharian, kita juga perlu berusaha untuk menjaga kebersihan hati. Elakkan sifat-sifat negatif seperti mengumpat, memfitnah, dan berburuk sangka. Sebaliknya, tanamkan sifat sabar, ikhlas, dan kasih sayang dalam diri. Inilah tanda bahawa kita benar-benar kembali kepada fitrah yang suci.

Keindahan silaturahim Muhajirin dan Ansar

DALAM sejarah Islam, antara kisah paling indah yang menggambarkan kekuatan silaturrahim ialah persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Peristiwa ini berlaku selepas penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah.

Golongan Muhajirin meninggalkan segala harta, keluarga, dan tanah air demi mempertahankan iman mereka, lalu tiba di Madinah dalam keadaan serba kekurangan.

Melihat keadaan tersebut, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar.

Persaudaraan ini bukan sekadar hubungan biasa, tetapi satu ikatan yang dibina atas dasar iman dan kasih sayang kerana Allah SWT.

Antara kisah yang paling masyhur ialah persaudaraan antara Abdul Rahman bin Auf (Muhajirin) dan Sa’ad bin Rabi’ (Ansar).

 Sa’ad bin Rabi’ menunjukkan contoh luar biasa dalam mengeratkan silaturrahim apabila beliau menawarkan separuh daripada hartanya kepada Abdul Rahman bin Auf.

Bahkan, beliau juga menawarkan untuk menceraikan salah seorang isterinya agar Abdul Rahman dapat mengahwininya setelah tamat iddah.

Namun, Abdul Rahman bin Auf dengan penuh hikmah dan rasa malu menolak tawaran tersebut.

Beliau hanya meminta ditunjukkan jalan ke pasar untuk mencari rezeki sendiri. Kisah ini menunjukkan bahawa silaturrahim bukan hanya tentang memberi, tetapi juga tentang menjaga maruah dan berdikari.

Kisah ini mengajar kita bahawa silaturrahim tidak bergantung kepada layanan orang lain semata-mata.

Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab peribadi yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesabaran dan keikhlasan.

Pengajaran daripada kisah-kisah ini sangat jelas. Silaturrahim yang sebenar memerlukan pengorbanan, keikhlasan, dan kesabaran.

Ia bukan sekadar ziarah pada hari raya, tetapi satu usaha berterusan untuk menjaga hubungan, memahami antara satu sama lain, dan saling membantu dalam keadaan susah dan senang.

Dalam kehidupan hari ini, semangat persaudaraan seperti Muhajirin dan Ansar perlu dijadikan contoh.

Walaupun kita tidak hidup dalam zaman yang sama, nilai kasih sayang, tolong-menolong, dan keprihatinan tetap relevan.

Dengan mengamalkan silaturrahim yang erat, masyarakat akan menjadi lebih harmoni dan diberkati oleh Allah SWT

Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: El Nino berintensi kuat diramal akan kembali pada pertengahan 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.