Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Larangan RON95 diperluas kepada kenderaan asing mulai 1 April
  • NASIONAL

Larangan RON95 diperluas kepada kenderaan asing mulai 1 April

Utusan Sarawak 10 hours ago
KERAJAAN perluas penguatkuasaan RON95, pemandu kenderaan asing turut dikenakan tindakan.

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 bagi kenderaan berpendaftaran asing akan diperluaskan mulai 1 April ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata langkah itu merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak.

“Berkuat kuasa 1 April 2026, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan yang berpendaftaran asing,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Armizan berkata penguatkuasaan itu adalah susulan daripada keputusan yang telah beliau bentangkan di Parlimen pada 29 Januari lepas.

Beliau berkata agenda penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan pematuhan peraturan serta membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan subsidi bahan api, khususnya di kawasan sempadan susulan ketegangan konflik Asia Barat.

“Saya mengingatkan agar semua pihak sama ada pengusaha stesen minyak mahupun pengguna kenderaan motor asing untuk mematuhi larangan ini,” katanya.

Armizan berkata KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket mahupun pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya terus menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, selaras agenda KITA GEMPUR bagi memastikan kepentingan rakyat terus dilindungi serta ketirisan subsidi dapat dibanteras.

Terdahulu, Armizan mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memuktamadkan persiapan akhir penguatkuasaan peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata kerajaan turut memberi jaminan bekalan barang keperluan asas negara kekal mencukupi walaupun berdepan peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan ekoran konflik di Asia Barat.

Beliau berkata jaminan itu dicapai hasil pengukuhan kerjasama antara kerajaan dan industri peruncitan menerusi sesi libat urus bersama Malaysia Retail Association (MRA) yang merupakan organisasi induk utama kepada pemain dalam sektor berkenaan.

“Agenda utama yang dibincangkan adalah isu-isu berbangkit terkait konflik Asia Barat khususnya implikasi terhadap keterjaminan bekalan dan kestabilan harga.

“Melalui pengukuhan kerjasama antara Kerajaan dan Industri, bekalan barang-barang keperluan asas yang diimport adalah mencukupi sungguhpun berhadapan dengan beberapa isu khususnya peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Anggota tentera dilapor hilang di Semporna ditemui selamat di Sarawak
Next: Permintaan pelancongan ASEAN kekal kukuh di tengah-tengah ketegangan geopolitik – Chiew

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.