
KUALA TERENGGANU: Konflik di Asia Barat bukan sahaja menggugat kestabilan geopolitik dan ekonomi global, malah turut memberi tempias langsung kepada kehidupan harian mahasiswa di negara ini.
Ketua Program Sarjana Muda Kewangan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Siti Nurain Muhmad berkata, konflik berlarutan di rantau berkenaan telah mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global, sekali gus memberi kesan rantaian kepada kos sara hidup di Malaysia.
“Gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz yang merupakan nadi utama penghantaran minyak dunia telah menyebabkan harga minyak melonjak.
“Dalam ekonomi global yang saling bergantung, peningkatan kos tenaga ini tidak dapat dielakkan daripada memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global termasuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesan tersebut kini dirasai oleh mahasiswa yang berdepan peningkatan kos perbelanjaan harian termasuk makanan, pengangkutan dan keperluan asas lain.
Sehubungan itu, Siti Nurain menyarankan golongan mahasiswa mengamalkan disiplin kewangan yang lebih tinggi dengan menyediakan bajet bulanan realistik serta mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan mengutamakan perbelanjaan berhemah, selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat.
“Amalan seperti memasak sendiri, berkongsi kenderaan dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan kampus boleh membantu mengurangkan bebanan kos,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan mempunyai simpanan kecemasan walaupun dalam jumlah kecil sebagai langkah perlindungan menghadapi situasi luar jangka, selain menasihati mahasiswa lebih berhati-hati dalam membuat komitmen kewangan khususnya melibatkan penggunaan kemudahan kredit, pinjaman atau pembelian secara ansuran bagi mengelakkan beban hutang jangka panjang.
Dalam pada itu, Siti Nurain menyeru institusi pengajian tinggi memainkan peranan lebih proaktif dengan menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelajar termasuk bantuan kewangan bersasar, inisiatif kebajikan seperti program makanan terpilih serta peluang menjana pendapatan melalui keusahawanan dan ekonomi gig.
Beliau berkata, institusi pendidikan juga perlu meneroka pendekatan mampan seperti penggunaan sumber tempatan dan tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran yang tidak menentu.
“Konflik yang berlaku ribuan kilometer dari negara ini membuktikan bahawa dunia hari ini saling berkait rapat. Apa yang berlaku di Timur Tengah mampu memberi kesan hingga ke bilik kuliah dan kehidupan mahasiswa di Malaysia.
“Dalam konteks ini, universiti bukan sekadar pusat penyampaian ilmu, tetapi harus berperanan sebagai benteng daya tahan yang membentuk generasi yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga adaptif dan bersedia menghadapi cabaran global,” katanya. – Bernama