DALAT: Rumbia, nanas dan kelapa telah dikenal pasti sebagai tanaman makanan berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.
“Dalam usaha untuk meningkatkan tahap pengeluaran tanaman makanan di Sarawak, Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti beberapa tanaman makanan yang berpontensi untuk dipasarkan bahkan sehingga ke luar negara seperti kelapa, nanas dan rumbia,” ujar Timbalan Ketua Menteri Amar Douglas Uggah Embas.
Justeru katanya, Sarawak merupakan pengeluar utama tepung sagu dunia telah menyasarkan nilai eksport rumbia RM100 juta pada 2025.
“Bagi mencapai sasaran nilai eksport rumbia RM100 juta menjelang 2025, strategi pembangunan industri ini akan dilaksanakan melalui penambahbaikan infrastruktur, pemberian peralatan penuaian rumbia moden kepada pekebun kecil dan meningkatkan perkhidmatan pengembangan pertanian dan nasihat rumbia secara intensif,” ujarnya.
Menyedari bahawa Bahagian Mukah, terutama Daerah Dalat, sebagai pengeluar utama kanji rumbia Sarawak, dia menamakan Kampung Medong dan Kampung Tanam berpontensi untuk menjadi salah satu penyumbang utama di kawasan ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Agriculture Community Outreach Program (ACOP) yang telah diadakan di Stadium Perpaduan Dalat pada 27 Oktober 2020 (Selasa).
Teks ucapannya pada majlis tersebut telah dibaca oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Beliau juga merupakan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Menteri, juga melihat nanas juga berpontensi untuk dibangunkan.
“Untuk penanaman nanas, sejumlah RM520,000 telah diperuntukkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat untuk membangunkan tanamam tersebut khususnya di kawasan Sg Kut dan Kpg Tanam,” tambahnya lagi.
Uggah juga mendedahkan bahawa Kerajaan Sarawak telah memberi fokus kepada program pertanian moden seperti sistem fertigasi dan hidroponik yang dapat membantu dalam mengeluarkan hasil pertanian yang bermutu dan berkualiti tinggi.
“Pertanian adalah merupakan satu perusahaan yang menguntungkan dan bernilai komersial.
Selari dengan usaha sedemikian,Kerajaan Sarawak juga sedang giat berusaha bagi menarik minat golongan belia, graduan dan profesional untuk terlibat aktif dalam sektor pertanian,” kata Uggah lagi.
Justeru, ujarnya, kerajaan telah memperkenalkan penggunaan teknologi digital dan kemudahan moden seperti dron dan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kecekapan serta produktiviti sektor pertanian.
Timbalan Ketua Menteri juga menyentuh tentang pentingnya pembangunan modal insan, yang menyaksikan pelbagai program dan kursus latihan untuk mengukuhkan kemahiran dan ilmu teknikal sedang dijalankan.
“Antaranya, kursus Sijil Pertanian Malaysia, kursus jangka pendek merangkumi pelbagai aspek dan program pertanian di pusat latihan pertanian dan juga di lapangan di seluruh Sarawak. Antara inisiatif lain yang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak ialah penyediaan tapak bagi menjalankan aktiviti pertanian melalui konsep Taman Pertanian (Agro Park), Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Zon Industri Akuakultur (ZIA),” tambahnya.