
SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka susulan cuaca panas dan kering yang melanda bahagian ini.
Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, keadaan musim kemarau meningkatkan risiko kebakaran belukar, kebun dan hutan yang mudah merebak serta sukar dikawal.
“Hentikan pembakaran terbuka termasuk sampah, kebun dan hutan. Langkah ini penting kerana ia boleh menjejaskan kesihatan, mencemari udara dan menyumbang kepada perubahan iklim,” tegasnya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Beliau menegaskan nasihat bomba ini bertujuan memastikan keselamatan masyarakat sepanjang musim kemarau.
“Laporkan segera sebarang kejadian kebakaran melalui talian kecemasan 999,” katanya.
Terdahulu semalam, telah dilaporkan berlaku kebakaran belukar berhampiran Pusat Memandu Ngu Chu Beng.
Andy berkata, sejurus menerima panggilan pada jam 12.39 tengah hari, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergegas ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi didapati kebakaran belukar di kawasan behampiran Pusat Memandu Ngu Chu Beng dengan jarak l/k 1kilometer (KM) dengan lokasi yang terbakar. Kebakaran dianggarkan bekeluasan 158 ekar,” ujarnya.
Katanya, pasukan bomba hanya membuat pemantauan menggunakan dron di sekitar kawasan kebakaran kerana tiada akses terus ke lokasi berkenaan akibat adanya sebatang sungai.
“Hasil pemantauan mendapati kawasan terbakar jauh dari penempatan dan perumahan, serta sungai itu bertindak sebagai ‘fire break’ bagi mengelakkan merebaknya api.
“Tiada tindakan operasi dilakukan oleh pihak bomba kerana keadaan didapati selamat selepas pemantauan,” ujarnya.
Oleh Akun Giman