
MIRI: Seekor burung enggang spesies Enggang Kelingking berjaya diselamatkan selepas dipercayai terlanggar bangunan di kawasan Kuala Baram sebelum diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Lutong, petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 5.20 petang itu, burung enggang jantan seberat 0.75 kilogram berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat pelanggaran sebelum ditemui dan diselamatkan oleh pihak bomba.
Menurut SFC, pemeriksaan awal mendapati burung tersebut berada dalam keadaan kurang aktif, justeru tindakan segera telah diambil dengan menjalankan penilaian kesihatan serta pemantauan rapi bagi memastikan tahap pemulihannya.

“Rawatan susulan akan diteruskan sehingga burung ini benar-benar stabil sebelum dipertimbangkan untuk dilepaskan semula ke habitat semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kehadiran Enggang Kelingking atau dikenali sebagai ‘Bruie’ dalam kalangan masyarakat Iban semakin kerap direkodkan di kawasan bandar seperti Miri berikutan keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan habitat.
Namun, situasi ini turut meningkatkan risiko interaksi antara hidupan liar dan pembangunan bandar, termasuk kejadian pelanggaran struktur bangunan yang boleh menjejaskan keselamatan haiwan berkenaan.
SFC menegaskan bahawa usaha menyelamat ini selaras dengan pendekatan konservasi ‘selamatkan, pulihkan dan lepaskan semula’ yang memberi peluang kedua kepada hidupan liar untuk pulih sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak mengganggu atau menangkap hidupan liar sekiranya ditemui, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.
Kerjasama antara agensi penyelamat, pihak berkuasa dan masyarakat dilihat penting dalam memastikan kelangsungan spesies serta pemeliharaan biodiversiti di Sarawak terus terjamin.
Oleh Adum Liu