
MOSCOW: Penghantaran pertama minyak mentah Rusia dalam tempoh lima tahun tiba di Filipina susulan laporan rundingan antara Kerajaan Filipina dan pembekal Rusia, menurut akhbar The Philippine Star, lapor Sputnik / RIA Novosti.
Kapal yang membawa minyak Rusia itu tiba di kawasan perbandaran Limay, Wilayah Bataan pada Selasa, 24 Mac.
Menurut RIA Novosti, minggu lepas Reuters melaporkan, berdasarkan data perkapalan daripada firma analitis seperti LSEG, Kpler dan OilX sebuah kapal yang membawa 100,000 tan (kira-kira 750,000 tong) minyak mentah jenis ESPO Blend yang dimuatkan di Pelabuhan Kozmino di Timur Jauh Rusia sedang menuju ke Filipina.
Kargo itu dilaporkan dihantar ke kilang penapisan terbesar negara itu di Bataan yang dimiliki oleh Petron Corporation.
Pada 28 Februari, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, menyebabkan kerosakan dan kematian orang awam.
Iran kemudian bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel serta kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat di Asia Barat.
Peningkatan konflik melibatkan Iran menyebabkan gangguan besar terhadap laluan di Selat Hormuz, iaitu laluan utama penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, sekali gus menjejaskan eksport dan pengeluaran minyak di rantau itu.
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. pada 23 Mac mengarahkan penubuhan jawatankuasa krisis bagi memastikan bekalan minyak stabil dan sehari kemudian mengisytiharkan darurat dalam sektor tenaga.
Negara itu juga memohon pengecualian daripada Amerika Syarikat bagi membolehkannya membeli minyak daripada negara yang dikenakan sekatan. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti