SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak membayar pampasan berjumlah RM13.8 juta kepada pemilik tanah bagi tujuan perlaksanaan Projek Jalan Utama Kedua di Bahagian Sri Aman.
Daripada jumlah tersebut katanya, sejumlah RM1,161,709.06 juta cek pampasan diserahkan kepada 37 pemilik tanah di sini pada Simposium Usahawan Kontraktor Siri ke-13 Bahagian Sri Aman yang berlangsung di sini, semalam.
Pampasan tersebut disampaikan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Perindustrian dan Sederhana, Datuk Mohd. Naroden Majais selaku mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Bayaran pampasan berkenaan melibatkan sejumlah 332 lot tanah dengan jalan sejauh 51 kilometer dibina kerajaan di bawah Projek Jalan Utama Kedua di kawasan Bahagian Sri Aman.
“Dengan adanya bayaran pampasan berkenaan, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak selama ini mengiktiraf Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) penduduk,” kata beliau.
Naroden pada simposium itu juga mengingatkan penduduk agar tidak mudah terpedaya terhadap cerita ‘dongeng’ kononnya Kerajaan Sarawak mahu bertindak merampas tanah NCR milik mereka selama ini.
Kata beliau, cerita ‘dongeng’ seperti itu acap kali muncul menjelang musim pilihan raya dengan tujuan utama pihak berkenaan adalah untuk mempengaruhi penduduk agar membenci kerajaan.
“Kerajaan selama ini tidak sewenang-wenangnya mahu mengambil alih tanah NCR milik penduduk kerana sebahagian daripada tujuan utamanya adalah untuk melaksana projek awam di kawasan mereka.
“Salah satu projek awam tersebut adalah pembinaan Jalan Utama Kedua Sarawak.
“Projek ini apabila siap nanti akan digunakan oleh penduduk itu sendiri dengan tanah milik mereka dapat dibangun menerusi projek lain kerajaan nanti,” kata beliau.
Tambahnya, baki tanah NCR yang sudah diambil alih kerajaan sebelum itu akan diguna untuk tujuan perlaksanaan Projek Bakul Makanan dalam negeri ini demi menampung permintaan makanan penduduk pada masa hadapan.
“Kerajaan akan memastikan permintaan makanan dalam kalangan penduduk negara kita mencukupi dan tidak bergantung sepenuhnya terhadap import makanan dari luar menerusi projek ini,” kata beliau.
Turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perindustrian, Datuk Malcom Mussem Lamoh, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga, Simoi Peri dan Senator Susan Chemerai Anding.
Oleh Valentine Ngumbang