Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Perkembangan AI bentuk keperibadian generasi muda, risiko jenayah siber perlu diberi perhatian
  • Tengah
  • WILAYAH

Perkembangan AI bentuk keperibadian generasi muda, risiko jenayah siber perlu diberi perhatian

Utusan Sarawak 11 hours ago
MAJLIS Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di Betong semalam. Foto: LKAMB

BETONG: Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian kini dilihat mampu memberi kesan besar terhadap pembentukan keperibadian generasi muda, sekali gus meningkatkan risiko mereka terdedah kepada jenayah siber seperti penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penggunaan AI yang semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perlu dipantau dengan serius agar tidak disalah guna sehingga menjejaskan nilai budaya dan sahsiah diri.

Menurutnya, kemajuan teknologi yang tidak dikawal boleh menjadi cabaran utama dalam pembangunan modal insan, terutama apabila generasi muda terlalu bergantung kepada teknologi tanpa bimbingan sewajarnya.

“Perkembangan AI yang digunakan dalam kehidupan seharian terutamanya kepada generasi hari ini akan membentuk keperibadian anak-anak dan mudah terdedah kepada jenayah siber seperti penipuan dalam talian,” katanya.

MAJLIS Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di Betong semalam. Foto: LKAMB

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, semalam.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) dengan kerjasama Jawatankuasa Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) Kampung Melayu Betong serta Persatuan Penduduk Kampung Melayu Betong (PPKMB).

Rentap hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan turut dihadiri Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa nilai perpaduan dan toleransi yang telah lama menjadi amalan masyarakat di Betong perlu terus dipelihara dalam era digital masa kini.

Katanya, silaturahim erat yang dipupuk sejak sekian lama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di kawasan itu menjadi asas penting dalam memastikan keharmonian terus berkekalan.

“Kepimpinan terdahulu menjadi pelopor kepada pembangunan modal insan seterusnya merancang kemajuan yang kita kecapi hari ini.

“Namun, cabaran teknologi moden menuntut kita untuk lebih berhati-hati agar tidak menghakis nilai budaya,” jelasnya.

Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar turut menekankan bahawa kestabilan politik memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang.

“Keseimbangan landskap politik memberi impak positif dalam merancakkan pembangunan fizikal dan modal insan. Tanpa sokongan rakyat, usaha pembangunan boleh terjejas dan memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 daripada Douglas Uggah kepada Jawatankuasa Induk Majlis, selain RM20,000 daripada beliau sendiri dan RM10,000 daripada Dr. Richard Rapu.

Beliau juga memaklumkan akan menyumbangkan seekor lembu bagi sambutan Aidiladha yang akan datang kepada penduduk Kampung Melayu Betong.

Selain itu, turut diadakan penyerahan cek geran LKAMB berjumlah RM110,000 kepada 13 pertubuhan termasuk masjid, surau dan NGO setempat.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan keceriaan kampung, pintu gerbang, gerai terbaik, cabutan bertuah serta pemberian duit raya kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Band Awin Majesty, Yabang Khalifah dan penyanyi veteran Herman Tino.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Indeks jenayah keseluruhan IPD Meradong turun 59 peratus setakat Mac 2026
Next: Kerjasama polis dan masyarakat kunci tangani ancaman keselamatan moden

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.