
BINTANGOR: Indeks jenayah keseluruhan IPD Meradong menunjukkan penurunan memberangsangkan sebanyak 59 peratus dalam tempoh Januari hingga 25 Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata penurunan tersebut melibatkan kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda yang direkodkan sepanjang tempoh tersebut.
“Untuk makluman, semua secara keseluruhannya indeks jenayah IPD Meradong pada tahun ini bagi tempoh Januari hingga 25 Mac menunjukkan penurunan sebanyak 59 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

“Jenayah kekerasan pada tahun lepas adalah lima kes dan tahun ini hanya dua kes.
“Manakala jenayah harta benda pada tahun lepas adalah 17 kes dan tahun ini hanya tujuh kes,” katanya ketika berucap di sambutan peringatan Hari Polis Ke-219 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, bertempat di Dewan Pejabat Daerah Lama, hari ini.
Katanya, penurunan indeks jenayah ini bukan hanya kerana usaha sepenuhnya daripada pegawai dan anggota IPD Meradong semata-mata.
“Ia adalah usaha dan kolaborasi bersama antara pihak polis dengan masyarakat yang sangat baik pada ketika ini.



“Saya berharap kerjasama yang baik ini diteruskan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini terjaga dan terpelihara,” katanya.
Turut hadir ialah Wong Zee Yeng selaku wakil Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Oleh Earl Anek