
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan mencadangkan pengenalan undang-undang ‘Recall Act’ di Sarawak sebagai mekanisme bagi membolehkan pengundi menyingkirkan wakil rakyat yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau menyalahi amanah sebelum tamat tempoh penggal.
Pengerusinya, Dato Sim Kiang Chiok berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan tahap akauntabiliti dalam kalangan wakil rakyat.
Menurut beliau, mekanisme itu boleh diaktifkan sekiranya seseorang wakil rakyat didapati gagal menunaikan janji pilihan raya, mengelirukan sidang di Dewan Undangan Sarawak (DUS) atau Parlimen, serta terlibat dalam salah laku moral yang terbukti dan mencemarkan imej jawatan.
“Mandat kemenangan dalam pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai lesen untuk berkhidmat tanpa akauntabiliti sepanjang lima tahun. Pengundi perlu mempunyai hak untuk bertindak sekiranya wakil yang dipilih gagal melaksanakan amanah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar proses ‘recall’ itu dimulakan melalui petisyen awam yang memerlukan sekurang-kurangnya 10 peratus sokongan daripada pengundi berdaftar di kawasan terbabit. Setelah disahkan, ia akan membuka laluan kepada pilihan raya semula atau proses penyingkiran rasmi.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa negara maju telah pun melaksanakan sistem seumpama itu sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi moden.
Di United Kingdom, pelaksanaan Recall of MPs Act 2015 membolehkan pengundi memulakan proses petisyen bagi menyingkirkan ahli Parlimen dalam keadaan tertentu yang dibenarkan undang-undang.
Sementara itu, Senedd Cymru turut mengamalkan mekanisme sama bagi memastikan wakil rakyat mereka kekal bertanggungjawab sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Contoh ini jelas menunjukkan bahawa undang-undang ‘recall’ bukan melemahkan demokrasi, sebaliknya memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi perundangan,” katanya.
Sehubungan itu, SUPP Stakan menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk meneliti secara mendalam cadangan tersebut, termasuk kemungkinan pelaksanaannya di peringkat negeri dan Persekutuan, bagi memperkukuh sistem demokrasi di Sarawak serta Malaysia secara keseluruhan.