

MIRI: Seekor burung enggang ditemui cedera selepas dipercayai terlanggar dinding sebuah bangunan kilang sebelum diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian di Kuala Baram petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan burung itu pada 4.30 petang.
“Sepasukan anggota dengan diketuai beliau sendiri segera ke lokasi dan mendapati burung enggang tersebut berada dalam keadaan lemah serta cedera di leher dipercayai akibat pelanggaran berkenaan.
“Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengambil burung tersebut dengan selamat sebelum menghantarnya ke Pusat Konservasi Hidupan Liar, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Kem Piasau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam pesanan ringkas semalam.
Burung berkenaan diserahkan kepada pegawai bertugas, Harry Morris dan Rolland Ajong bagi pemeriksaan serta rawatan susulan.
Oleh Adum Liu