
SIBU: Orang ramai digesa tampil menderma darah bagi membantu memastikan bekalan darah di Hospital Sibu kekal mencukupi untuk kegunaan pesakit.
Bank Darah Hospital Sibu dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pihaknya kini giat menghubungi orang ramai bagi menggalakkan lebih ramai tampil menderma darah.
“Sekiranya anda menerima panggilan daripada Hospital Sibu, ia berkemungkinan datang daripada pihak kami dalam usaha mendapatkan penderma darah.
“Pada masa ini, kami amat memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan bekalan darah mencukupi untuk semua pesakit yang memerlukan,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk tampil menderma darah kerana setiap sumbangan mampu menyelamatkan nyawa.
“Derma darah anda hari ini kerana ada nyawa yang perlu diselamatkan dan ada insan yang menanti kepulangan orang tersayang,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagi mereka yang berada di Kapit, Sarikei, Daro, Saratok dan Kanowit, orang ramai boleh hadir ke tabung darah berdekatan bagi menjalani proses pendermaan.
Dalam pada itu, pihak Bank Darah Hospital Sibu turut merakamkan penghargaan kepada semua penderma yang telah tampil membantu.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua penderma atas keprihatinan dan sumbangan anda dalam membantu menyelamatkan nyawa,” kata kenyataan itu.
Oleh Akun Giman