
SIBU: Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) digesa supaya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mendidik orang awam mengenai penggunaan aplikasi parkir pintar SMC Cares.
Pengerusinya, Clarence Ting Ing Hort berkata, perkara tersebut adalah penting sebagai persediaan menjelang pelaksanaan sepenuhnya sistem tersebut pada Julai ini.
“Dalam tempoh sekitar seminggu, saya menerima lebih 10 aduan daripada golongan warga emas yang dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan kupon parkir.
“Kita perlu bekerjasama dengan orang awam supaya mereka memahami cara menggunakan aplikasi ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penuh majlis, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar ahli majlis menganjurkan sesi bimbingan pada hujung minggu bagi membantu orang ramai di empat perpustakaan milik majlis termasuk di Kampung Bahagia.
Katanya, semua kakitangan majlis perlu diberi latihan berkaitan sistem parkir pintar tersebut, manakala penjaja juga boleh dilibatkan bagi membantu menyebarkan maklumat kepada orang ramai.
“Kita perlu lakukan ini bagi mempromosikan penggunaan aplikasi parkir pintar. Setakat ini, aplikasi tersebut telah merekodkan antara 53,000 hingga 54,000 pengguna berdaftar.
“Kita akan terus mempromosikan aplikasi ini walaupun mencapai 100,000 pengguna kerana ini merupakan usaha berterusan. Pihak Jawatankuasa Tetap Kerja dan Trafik MPS telah diminta meneliti perkara itu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ting turut mendedahkan sebanyak 174 kes gigitan anjing dilaporkan pada Februari lalu dalam kawasan pentadbiran MPS.
“Daripada jumlah itu, 128 kes melibatkan anjing peliharaan manakala 46 kes berpunca daripada anjing liar,” ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MPS Mohammed Abdullah Izkandar Roseley dan Setiausaha Perbandaran Henry Jalin Watt.
Oleh Akun Giman