
KUCHING: Musim Monsun Timur Laut dijangka berakhir pada Ahad ini (29 Mac), sekali gus menandakan peralihan kepada cuaca panas dan kering di Sarawak.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pihaknya telah menerima pemberitahuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai perkara tersebut.
“Seperti yang kita saksikan, Monsun Timur Laut biasanya membawa hujan lebat dan banjir. Mengikut NADMA, musim ini dijangka berakhir Ahad ini.
“Musim panas dijangka berlaku seperti biasa dan semua pihak perlu bersedia menghadapi keadaan cuaca kering,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, di sebuah hotel terkemuka, di sini.
Tambah beliau, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) telah mengarahkan semua pihak berkuasa di peringkat bahagian dan daerah supaya membuat persiapan awal.
“Musim kemarau ini boleh menyebabkan beberapa kejadian seperti kebakaran hutan dan kekurangan bekalan air di beberapa kawasan seperti Kuala Baram sebelum ini pernah mengalami kebakaran hutan, manakala lokasi lain mungkin berdepan isu bekalan air.
“Langkah kesiapsiagaan termasuk pemantauan rapi di kawasan berisiko tinggi perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Di kawasan seperti Kuala Baram, kita sedang mengenal pasti prasarana dan bekerjasama dengan jabatan berkaitan untuk memantau kawasan yang berpotensi menjadi titik panas,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan mengenal pasti kawasan panas lebih awal, khususnya di kawasan gambut, bagi membolehkan tindakan segera diambil sebelum kebakaran merebak.
“Pihak berkuasa telah diarahkan meningkatkan pemantauan serta memastikan semua kebakaran terbuka dapat dikawal dengan baik. Jika perlu, perkhidmatan kecemasan akan disediakan segera bagi menangani sebarang kejadian
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang musim panas. Polis sudah mengeluarkan arahan.
“Dengan kewaspadaan dan kerjasama semua, kita boleh mengurangkan risiko kebakaran dan memastikan keselamatan bersama,” tegasnya.
Oleh Masrin Affirah