
BETONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak terus mempergiat pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 menerusi operasi rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi sekitar bahagian ini.
Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Cawangan JPJ Betong dengan tumpuan di kawasan Bandar Betong, Pusa dan Saratok bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap optimum.
Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 25 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa melibatkan kenderaan persendirian dan komersial.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan utama telah dikenal pasti, termasuk pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah serta kenderaan tanpa nombor pendaftaran.
Selain itu, turut dikesan pelbagai kesalahan lain yang melibatkan aspek teknikal kenderaan, yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya sekiranya tidak ditangani.
Pihak JPJ Sarawak memaklumkan bahawa tindakan sewajarnya telah diambil terhadap semua kesalahan yang dikesan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPJ dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya khususnya musim perayaan Aidilfitri yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan, mengamalkan pemanduan berhemah serta mengutamakan keselamatan dalam setiap perjalanan demi kesejahteraan bersama.
Oleh Adi Safarman