
LONDON: Bintang Mesir, Mohamed Salah sah akan meninggalkan Liverpool pada penghujung musim 2025/26, sekali gus menamatkan perjalanan cemerlang selama sembilan tahun di Anfield.
Penyerang berusia 33 tahun itu menyertai kelab gergasi England tersebut dari Roma pada 2017 dan telah membuat 435 penampilan dengan 255 gol, menjadikannya antara legenda moden kelab.
Menurut kenyataan rasmi kelab, keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama dan Salah mahu memaklumkan penyokong lebih awal sebagai tanda hormat serta penghargaan.
Salah sebelum ini mengalami kecederaan ringan selepas menjaringkan gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara.
Walaupun prestasinya kembali meningkat kebelakangan ini, beliau hanya meledak lima gol dalam saingan Liga Perdana musim ini, jauh berbanding 29 gol ketika membantu Liverpool menjuarai liga musim lalu.
Difahamkan, musim ini turut menyaksikan hubungan tegang seketika antara Salah dan pengurus Arne Slot apabila beliau digugurkan beberapa perlawanan sebelum kembali menjadi tonggak utama. – AFP