
LAWAS: Kesesakan lalu lintas terus memuncak memasuki hari keempat Hari Raya di kawasan utara Sarawak, melibatkan beberapa pintu sempadan utama negeri ini.
Kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) CIQ Merapok yang menghubungkan Lawas dengan Sabah dilaporkan sesak dari kedua-dua arah.
Tinjauan turut mendapati keadaan sama berlaku di CIQ Mengkalab yang menjadi pintu masuk antara Brunei dan Lawas.
Selain itu, sempadan CIQ Sungai Tujuh yang menghubungkan Miri dan Brunei turut mengalami kesesakan teruk apabila kenderaan berbaris panjang dari kedua-dua arah. Dari arah Miri, kenderaan berdaftar Brunei dilaporkan beratur sehingga ke Jambatan ASEAN dengan jarak hampir lima kilometer.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, berkata situasi itu mencerminkan hubungan erat antara masyarakat di utara Sarawak yang melibatkan penduduk dari Sarawak, Sabah dan Brunei.


“Isu ini telah lama berlarutan dan telah dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan. Setakat ini, kerajaan Sarawak melalui peruntukan negeri telah menaik taraf beberapa sempadan seperti Sungai Tujuh, CIQ Tedungan, CIQ Pandaruan, Mengkalab dan Merapok.
“Kesesakan panjang di sempadan setiap musim perayaan sudah menjadi kelaziman dan pengalaman sukar bagi penduduk di kawasan ini. Kita berharap pihak kementerian berkaitan di Putrajaya dapat turun padang merasai sendiri situasi menunggu antara tiga hingga tujuh jam dalam kenderaan.
“Saya sendiri pernah mengalaminya dan beberapa kali terlepas mesyuarat di peringkat bahagian akibat terperangkap dalam kesesakan ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Oleh Adeng Edrus