

LUBOK ANTU: Lima individu ditangkap manakala 32 saman lalu lintas dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di kawasan Engkilili, dekat sini kelmarin.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, mereka yang ditahan membabitkan tiga lelaki dan dua perempuan berusia antara 32 hingga 57 tahun hasil pemeriksaan semasa sekatan jalan raya dijalankan.
Daripada jumlah itu, salah seorang suspek merupakan lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran atau bertindak sebagai ‘transporter’ dalam aktiviti berkenaan.
Polis turut merampas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik suspek yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran tersebut bagi membantu siasatan lanjut.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Operasi itu diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Lubok Antu, Inspektor Nelson Ensit, dengan kekuatan seramai 20 anggota yang digerakkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan tugas.
Sepanjang operasi tersebut, pasukan polis telah memeriksa sebanyak 95 kenderaan pelbagai jenis selain melakukan pemeriksaan terhadap 100 individu.
Dalam operasi sama, sebanyak 32 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan dan mendidik pengguna jalan raya agar lebih mematuhi undang-undang.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin, turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna jalan raya yang memberikan kerjasama penuh sepanjang operasi dijalankan.
Beliau menegaskan bahawa IPD Lubok Antu akan terus melaksanakan operasi seumpama itu secara berterusan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan ketenteraman awam di daerah berkenaan.
Oleh Adi Safarman