Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • PERANTIS gesa semakan semula peruntukan khas Sarawak
  • TEMPATAN

PERANTIS gesa semakan semula peruntukan khas Sarawak

Utusan Sarawak 8 hours ago
PENASIHAT Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS), Wellie Henry Majang.

SIBU: Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) menggesa kerajaan Persekutuan menyemak semula peruntukan khas tahunan kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan agar lebih adil dan selari dengan keperluan pembangunan semasa.

Penasihatnya, Wellie Henry Majang berkata, memasuki 2026, Sabah dan Sarawak memerlukan peruntukan lebih besar bagi memastikan keseimbangan pembangunan, khususnya dari segi infrastruktur.

Menurutnya, Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia memerlukan perhatian serta peruntukan khusus yang lebih signifikan, selaras dengan matlamat mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Ini bukan lagi 1957 atau 1963. Keperluan pembangunan telah berubah dan Sarawak wajar diberikan agihan lebih besar berdasarkan realiti semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan khas tahunan sebanyak RM16 juta sebelum ini jelas tidak mencerminkan keperluan sebenar Sarawak jika mengambil kira keluasan geografi, tahap pembangunan serta kedudukannya sebagai rakan pengasas Malaysia.

Katanya, semakan terhadap peruntukan di bawah Perkara 112D juga perlu mengambil kira nilai semasa mata wang serta tuntutan pembangunan yang semakin meningkat.

“Kerajaan Persekutuan perlu melipatgandakan pemberian ini agar seiring dengan keperluan semasa dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya.

Wellie turut mempersoalkan formula yang digunakan dalam menentukan jumlah peruntukan khas tersebut di bawah pentadbiran Kerajaan Malaysia MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah beliau, formula yang digunakan seharusnya bersifat komprehensif, adil dan holistik, termasuk mengambil kira peningkatan geran sejak 1974 serta tunggakan yang tidak disemak dari 1974 hingga 2019 dan seterusnya.

Menurutnya, kali terakhir semakan dibuat adalah pada 1969, walaupun Perlembagaan memperuntukkan semakan setiap lima tahun.

“Antara faktor yang perlu diberi perhatian termasuk keluasan negeri, jumlah penduduk, tahap pembangunan serta sumbangan Sarawak kepada hasil negara melalui sumber semula jadi dan kutipan cukai,” jelasnya.

Beliau menambah, kekurangan agihan dana yang mencukupi merupakan antara punca utama Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dari segi pembangunan berbanding Semenanjung.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua wilayah berkenaan wajar menuntut peruntukan tambahan selain peruntukan biasa, termasuk bagi penyelenggaraan jalan negeri, dana khas, bantuan kecemasan serta pengukuhan Kumpulan Wang Rizab Negeri.

“Sebagai rakan pengasas Malaysia, pembahagian hasil perlu dilakukan secara saksama dengan mengambil kira sumbangan besar Sarawak kepada ekonomi negara,” tegasnya.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: ADUN Meradong santuni 50 orang kanak-kanak Rumah Methodist Sibu di Bintangor
Next: DAPSY Kuching gesa percepat pelaksanaan Program CNVR tangani rabies

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.