Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Suasana Hari Raya pertama di Kuching pada 1960
  • KOLUMNIS

Suasana Hari Raya pertama di Kuching pada 1960

Utusan Sarawak 8 hours ago
DR Suffian Mansor, Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

SALAH satu hari yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia adalah Hari Raya. Hari Raya merupakan satu simbol kesyukuran, bermaafan dan memperkukuh silaturahim.

Dalam sejarah Sarawak, Hari Raya tetap dirayakan walaupun pada satu ketika diperintah oleh kuasa Barat. Era pemerintahan British misalnya Hari Raya diisytiharkan sebagai hari cuti dan mendapat perhatian utama Gabenor British di Sarawak.

Dalam hal ini orang Islam di Sarawak meneruskan tradisi kunjung mengunjung dan bermaaf-maafan. Bagi yang jauh, kad ucapan Hari Raya dikirim kepada saudara mara dan sahabat handai.  

Simbolik pengiriman kad Hari Raya ini juga menunjukkan bagaimana ukhwan antara saudara seagama diperkukuhkan.

SUASANA Hari Raya pertama di Kuching pada 1960. Foto Adat Resam Penduduk Sarawak, 1988

Tawaran

Sebelum tibanya Hari Raya, beberapa syarikat pakaian menawarkan perkhidmatan mereka untuk memenuhi keperluan semasa hari tersebut. Iklan-iklan terpampang di dada-dada surat khabar yang mengiklankan perkhidmatan mereka kepada orang Islam.

Antara syarikat ini adalah Sam Aik Industries Limited yang menawarkan baju Chap Budak Terbang (Angel). Antara baju yang dijual syarikat ini adalah kemeja termasuk juga taula.  

Sebuah lagi syarikat menawar penjualan pakaian adalah Yian San Co., yang terletak di India Street.  Syarikat ini menawarkan jualan seperti kain, baju lelaki moden dan pelbagai saiz, pakaian wanita dan kanak-kanak.

Jenama pakaian Friendly yang mempunyai logo berjabat tangan juga mempromosi baju mereka yang mempunyai pelbagai warna dan berkualiti. Selain jualan pakaian terdapat dua syarikat menawarkan tempahan baju untuk Hari Raya.  

Salah satu daripadanya adalah Khong Hock Hin yang merupakan syarikat berpangkalan asalnya dari Hong Kong telah melebarkan sayapnya ke Sarawak.  

Syarikat ini menawarkan kain tweed kepada pelanggannya. Butterfly Studio pula menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk membuat pakaian wanita, penggayaan rambut, perkhidmatan fotografi dan pembuatan bunga.

Sambutan

Apabila tibanya Hari Raya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh umat Islam. Malah persatuan seperti Persatuan Persaudaraan Masjid Bintangor dan Haji Taha (PMBHT) memain peranan dalam meraikan perayaan tersebut. 

Pada Hari Raya 1961, persatuan ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk memeriahkan suasana hari raya.

Antara acara diadakan adalah pertandingan catur dan sukan ping pong. Selepas itu, pada 26 Mac 1961 di Halaman Taman Pelajaran MBHT, Jalan Haji Taha, upacara memberi hadiah kepada pemenang acara sukan ping pong dan catur diadakan.  

Acara sukan sepak raga jaring juga diadakan di halaman tersebut. Permainan sepak raga jaring ini diusahakan oleh Khutub Khanah Persaudaraan MBHT yang dipengerusikan oleh Naim Gendot dan setiausahanya Abang Kassim Safuani.

Pada 29 April 1961 hingga 9 Mei 1961 pula diadakan sandiwara tahunan yang dianjurkan oleh MBHT Dramatic Party dibawah Abang Safuani sebagai pengerusi dan A. G. Wahed sebagai Setiausaha Kehormat.  

Hasil daripada kutipan dari sandiwara itu digunakan untuk membesarkan Taman Pelajaran MBHT selain mendermakannya juga kepada Swimming Pool Kuching dan Sport Fund Committee.

Membahagi hadiah

Pada 1962, Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (PKIS) pula memain peranan dalam memberi hadiah kepada pesakit-pesakit beragama Islam di beberapa pusat kesihatan di Kuching.  

Acara ini diadakan pada hari kedua hari raya. Rombongan PKIS ini terdiri daripada Mat Ibrahim, Abdillah Baki, Abang Latif Zainie, Hasfa Onong, Hasbi Sulaiman, Hasbi Jalil, Gol Safah, Kordi dan Majid Kordi.

Rombongan ini telah disambut baik oleh pihak jururawat, dan pihak jururawat membantu rombongan ini mengagihkan hadiah berupakan kain dan permainan kepada pesakit yang berada di hospital tersebut.

Lawatan mengagihkan hadiah ini diteruskan oleh rombongan PKIS ke rumah pesakit mental di sebelah petang. Lawatan mereka ini telah disambut oleh jururawat. Dalam lawatan tersebut pihak rombongan telah menghadiahkan kuih muih kepada pesakit.

Aktiviti memberi hadiah ini diteruskan juga oleh Rajah Sir Charles Brooke Memorial Hospital. Di hospital ini mereka telah disambut oleh Jenarawi Mok iaitu Ketua Jururawat di hospital tersebut. Di hospital ini, PKIS telah memberi hadiah kepada pesakit kusta.  

Hadiah-hadiah ini dalam bentuk kain, kuih muih, permainan dan dua basikal roda tiga. Hasbi Sulaiman telah mewakili rombongan ini untuk memberi ucapan. Ucapan ini disambut pula oleh ucapan daripada salah seorang pesakit kusta.  

Rombongan PKIS ini juga telah diraikan dengan acara pencaragam oleh kanak-kanak sekolah. Seterusnya tarian zapin telah dipertontonkan kepada ahli rombongan tersebut.

Lawatan ini berakhir di rumah pesakit batuk kering iaitu ATAS. Lawatan ini menemui dua pesakit batuk kering beragama Islam, dan PKIS telah memberi hadiah kepada kedua-dua pesakit tersebut.

Rumah Terbuka

Amalan rumah terbuka juga merupakan satu ciri Hari Raya di Sarawak. Pada Hari Raya 1962 misalnya pemimpin Melayu seperti Datu Bandar Abang Mustapha telah mengadakan rumah terbukanya.  

Acara rumah terbuka rumah Abang Mustapha ini diadakan pada 11 Mac 1962 di Taman Santosa. Seramai kira-kira 1,000 orang telah bertandang untuk meraikan rumah terbuka tersebut.  

Yang datang ke rumah terbuka ini bukan setakat orang Islam tetapi juga dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Rumah terbuka Abang Mustapha ini juga merupakan salah satu langkah untuk menerangkan tentang rancangan Malaysia.  

Pada waktu itu rancangan Malaysia telah mendapat perhatian daripada penduduk Sarawak. Atas sebab itu pengunjung yang hadir dalam majlis rumah terbuka ini juga telah di tayang wayang gambar yang berkaitan dengan Malaysia.  

Kunjungan

Tradisi kunjung mengunjung ini diteruskan oleh orang Islam di Sarawak dengan kunjungan rombongan Abang Mustapha ke Kampung sungai Bedil Kecil.  Kunjungan itu diadakan pada 12 Mac 1962.

Kunjungan ini atas jemputan Ketua Kampung Shahmat kepada Abang Mustapha. Lokasi sambutan Hari Raya itu diadakan di rumah ketua kampung.  

Seramai kira-kira 500 orang telah menyambut rombongan Abang Mustapha. Pada masa sama, selain jamuan Hari Raya, satu pertunjukan pencat silat telah diadakan.

Secara kesimpulannya Hari Raya tetap menjadi perayaan di Sarawak walaupun dibawah jajahan British. Persiapan telah dibuat dan pelbagai syarikat telah menawar khidmat kepada orang Islam. Hari Raya dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti. 

Akhir sekali Selamat Menyambut Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tags: KOLUMNIS

Continue Reading

Previous: Apabila keseimbangan global terganggu, langit turut bergelora

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.