
BANGKOK: Thailand bakal melancarkan aplikasi ‘Fuel Now’ pada Selasa (24 Mac) bagi menyediakan kemas kini secara masa nyata mengenai ketersediaan stesen minyak di seluruh negara sebagai sebahagian daripada langkah mengurus kekurangan bahan api dan mengurangkan pembelian panik.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perniagaan Tenaga, Wutthitat Tantivess berkata, aplikasi itu akan menyediakan kemas kini secara masa nyata mengenai ketersediaan stesen minyak di seluruh negara.
“Aplikasi ini akan menyediakan kemas kini secara masa nyata mengenai 139 stesen minyak di seluruh negara, termasuk maklumat ketersediaan bahan api mengikut jenis serta status operasi stesen, sekali gus membolehkan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih baik dalam situasi semasa,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemantauan dan Pengurusan Situasi Konflik di Asia Barat (CMCMME) pada Isnin.
Beliau menambah bahawa pedagang minyak telah diarahkan mengemukakan laporan harian mengenai jumlah dagangan dan harga bagi mengelakkan penyorokan bekalan.
Pihak berkuasa juga mengarahkan stesen minyak supaya tidak menolak penjualan bahan api kepada perkhidmatan kecemasan seperti ambulans serta pengguna sektor pertanian, katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Dasar dan Perancangan Tenaga (EPPO,) Wacharin Boonrit berkata, Kementerian Tenaga telah memperkenalkan langkah menstabilkan harga minyak domestik dengan menggunakan Dana Bahan Api Minyak bagi memberi subsidi kos dan mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata, harga runcit diesel ketika ini ialah 31.14 baht (RM3.72) seliter, manakala gasohol E20 berharga 33.05 baht (RM3.95) seliter.
Beliau berkata, kerajaan juga menggalakkan penggunaan biofuel seperti biodiesel, dengan nisbah campuran diselaraskan daripada B5 kepada B7 bagi menyokong penggunaan tenaga domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak import.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa Thailand mempunyai rizab minyak mencukupi untuk penggunaan sekitar 103 hari, yang terdiri daripada 1.504 bilion liter rizab komersial, 3.389 bilion liter rizab yang diwajibkan secara sah, 4.2 bilion liter bekalan dalam transit serta tambahan 3.7 bilion liter yang diperoleh melalui kontrak perolehan. – Bernama