
KUALA LUMPUR: Golongan lelaki dikesan lebih berisiko mengalami gangguan penglihatan warna atau rabun warna berbanding wanita, selaras dengan prinsip genetik Mendelian.
Pensyarah Kanan Program Optometri dan Sains Penglihatan, Pusat Kajian Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Rokiah Omar berkata keadaan itu berlaku kerana gen yang mengawal penghasilan fotopsin iaitu pigmen warna terletak pada kromosom X, sedangkan lelaki hanya mempunyai satu kromosom tersebut.
Beliau menjelaskan sebarang kecacatan pada gen yang mengawal fotopsin akan menyebabkan gangguan penglihatan warna dizahirkan secara fizikal.
“Rabun warna juga boleh diwarisi daripada ibu bapa. Sebagai contoh, jika bapa normal dan ibu adalah pembawa, maka 50 peratus anak lelaki berisiko mengalami rabun warna, manakala 50 peratus anak perempuan berisiko menjadi pembawa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pakar penglihatan terhad itu berkata sekitar 4.8 peratus lelaki di negara ini mengalami rabun warna kongenital (sejak lahir), selari dengan trend global yang menganggarkan lapan peratus lelaki dan 0.5 peratus wanita di seluruh dunia terjejas dengan keadaan itu.
Dr Rokiah menjelaskan secara perubatan, rabun warna kongenital dikategorikan sebagai gangguan penglihatan warna akibat mutasi genetik pada sel kon retina dan bukannya penyakit berjangkit, namun ia boleh ‘diperolehi’ kesan daripada simptom penyakit kronik lain.
“Kencing manis (diabetes melitus) yang tidak terkawal boleh merosakkan saluran darah di retina sehingga menjejaskan fungsi sel kon yang bertanggungjawab terhadap persepsi warna. Glaukoma, katarak, degenerasi makula serta penggunaan ubat tertentu yang bersifat toksik kepada saraf optik juga boleh menyebabkan rabun warna sementara atau kekal,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata tahap kesedaran masyarakat mengenai rabun warna masih perlu dipertingkatkan memandangkan ramai individu hanya menyedari keadaan mereka ketika gagal ujian mata bagi mendapatkan lesen memandu atau ketika memohon pekerjaan.
Meskipun tidak mengancam nyawa, Dr Rokiah menekankan impak terhadap mobiliti ekonomi individu adalah besar kerana ia menjejaskan fungsi harian dan keselamatan termasuk kesukaran membezakan lampu isyarat, menilai kematangan bahan makanan atau membaca indikator warna pada peranti rumah.
“Ia juga mengehadkan pilihan kerjaya kerana individu rabun warna tidak boleh menceburi bidang yang memerlukan ketajaman penglihatan seperti juruterbang, jurutera elektrik, ahli farmasi dan anggota keselamatan,” katanya.
Dr Rokiah berkata penglibatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga terhad kerana kursus seperti kejuruteraan elektrik, elektronik, mekanikal dan awam memerlukan penglihatan warna normal bagi membezakan warna wayar atau simbol litar untuk mengelakkan risiko letupan serta litar pintas.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian pelajar yang cenderung dalam bidang teknikal terpaksa beralih ke bidang lain hanya kerana rabun warna yang diwarisi, sekali gus mewujudkan jurang dalam pembangunan modal insan negara dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Bagaimanapun, pelajar yang mengalami rabun warna masih berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang tidak bergantung sepenuhnya kepada pengecaman warna kritikal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata penyelarasan antara sistem saringan sekolah dan pasaran kerja perlu diperkemas bagi memastikan murid tidak terperangkap dalam aspirasi kerjaya yang mustahil untuk mereka capai.
Dr Rokiah berkata data program kesihatan sekolah oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan menunjukkan peningkatan kes rabun warna sejak 2013, namun ia tidak seharusnya ditafsirkan sebagai ‘wabak klinikal’, sebaliknya mencerminkan keberkesanan sistem saringan Carta Ishihara yang lebih komprehensif.
Mengenai bantuan penglihatan, beliau memaklumkan terdapat kanta lekap atau cermin mata khas seperti ChromaGen yang mampu membantu meningkatkan kontras warna, namun mengakui kos peralatan tersebut agak tinggi.
Sementara itu, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anak Selangau, Sarawak, Helmi Ali, 28, yang mewarisi rabun warna daripada ibunya berkata saringan awal perlu dilakukan seawal peringkat prasekolah.
Helmi disahkan mengalami rabun warna ketika berusia antara sembilan hingga 10 tahun selepas ditegur guru pendidikan seni yang menyangka beliau tidak bersungguh-sungguh ketika mewarna.
“Apabila menyebut tentang rabun warna, ramai beranggapan saya hanya boleh melihat hitam dan putih. Persepsi itu perlu diperbetulkan kerana individu rabun warna masih boleh melihat seperti orang normal namun sukar membezakan warna tertentu.
“Tahun lepas, ketika masing-masing membeli baju raya mengikut tema, saya dan ibu terbeli warna hijau sedangkan tema kami adalah coklat. Sebab itu, jika membeli baju kami akan pergi bersama kakak saya yang mempunyai penglihatan normal,” katanya.
Berkongsi cabaran memandu, beliau berkata dirinya bergantung kepada ingatan terhadap kedudukan warna lampu isyarat meskipun lampu isyarat yang menggunakan kiraan nombor semakin banyak digunakan di Sarawak.- Bernama