Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Apabila keseimbangan global terganggu, langit turut bergelora
  • KOLUMNIS

Apabila keseimbangan global terganggu, langit turut bergelora

Utusan Sarawak 8 hours ago

KERANCAKAN perjalanan udara baru sahaja kembali pulih selepas industri ini melalui tempoh suram akibat pandemik beberapa tahun lalu.

Namun sebelum momentum tersebut benar-benar mengukuh, sejak penghujung Februari 2026, ruang udara khususnya di Asia Barat kembali menunjukkan tanda-tanda ketidaktentuan.

Walaupun gangguan kali ini tidak menutup laluan udara secara menyeluruh seperti semasa pandemik, kesannya tetap ketara.

Industri penerbangan bergantung kepada rangkaian global yang saling berkait, apabila salah satu koridor perjalanan terganggu, ia sudah cukup untuk mencetuskan ketidakstabilan yang meluas.

Bagi orang awam, peperangan sering dibayangkan berlaku di darat atau laut.

Namun bagi industri penerbangan, kesannya paling awal dirasai di ruang udara kerana ia umpama saluran darah yang mula tersumbat, memperlahankan aliran yang selama ini menjadi nadi kepada pergerakan manusia dan perdagangan global.

Iran sebagai contoh, negara ini terletak di lokasi strategik yang menghubungkan trafik udara antara Eropah dan Asia.

Setiap hari, ribuan penerbangan menggunakan laluan ini kerana ia paling efisien dari segi masa dan penggunaan bahan api. Apabila risiko keselamatan meningkat, laluan yang dahulunya menjadi kelebihan kini berubah menjadi liabiliti.

Apabila satu koridor utama terjejas, keseluruhan rangkaian penerbangan terpaksa disusun semula. Laluan yang sebelum ini lurus dan optimum, kini menjadi lebih panjang apabila pesawat perlu melencong melalui laluan utara atau selatan.

Perubahan ini bukan sahaja menambah masa penerbangan, ia turut meningkatkan penggunaan bahan api secara langsung.

SEORANG penumpang mengambil gambar paparan maklumat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj, Mumbai pada 1 Mac 2026 selepas dua syarikat penerbangan swasta terbesar India, IndiGo dan Air India, menggantung penerbangan ke semua destinasi di Asia Barat. Ribuan penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan dalam gangguan terbesar terhadap pengangkutan udara global sejak pandemik Covid apabila syarikat penerbangan menggantung perkhidmatan ke Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran. – Foto AFP

Akibatnya, tekanan ekonomi mula terasa. Hal ini kerana bahan api merupakan komponen kos terbesar bagi syarikat penerbangan, lazimnya merangkumi sehingga satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan operasi.

Dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu, kenaikan harga minyak mentah berlaku secara mendadak dan menyebabkan kos operasi melonjak serta-merta.

Walaupun strategi lindung nilai (hedging) boleh membantu menstabilkan kos dalam jangka pendek, kesannya tetap terhad. Sebaik sahaja kontrak tamat, syarikat penerbangan terpaksa berdepan harga pasaran semasa yang lebih tinggi, sekali gus mewujudkan tekanan kewangan berpanjangan.

Kesan ini dapat dilihat dengan jelas melalui contoh syarikat penerbangan besar di Asia Barat seperti Emirates. Sebagai sebuah pengendali global yang menjadikan Dubai sebagai hab antara Timur dan Barat, Emirates sangat bergantung kepada laluan yang merentasi ruang udara Asia Barat.

Apabila konflik meningkat, syarikat ini terpaksa melaksanakan lencongan besar-besaran, memanjangkan masa penerbangan ke Eropah dan meningkatkan penggunaan bahan api bagi setiap sektor.

Walaupun Emirates mempunyai kekuatan kewangan dan struktur operasi yang kukuh, kos tambahan ini tetap memberi tekanan kepada kecekapan rangkaian mereka. Pesawat yang sepatutnya membuat pusingan pantas menjadi lebih lama berada di udara, sekali gus mengurangkan produktiviti aset.

Untuk tempoh jangka pendek, syarikat seperti ini masih mampu menyerap sebahagian kos, namun margin keuntungan tetap terhakis apabila krisis berlarutan.

Berbeza dengan itu, situasi menjadi lebih mencabar bagi syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia. Syarikat ini secara tradisinya tidak bergantung kepada strategi lindung nilai bahan api dalam skala besar seperti syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.

Pendekatan ini memberi kelebihan ketika harga bahan api rendah, tetapi menjadi risiko apabila harga melonjak secara mendadak.

Dalam keadaan harga minyak yang tinggi, kos operasi AirAsia meningkat secara langsung kerana syarikat tidak mempunyai perlindungan harga. Untuk menampung tekanan ini, syarikat mungkin terpaksa menaikkan harga tiket dan menambah surcaj bahan api.

Namun di sinilah timbul dilema yang menarik. Walaupun harga tiket meningkat ke tahap yang lebih tinggi, struktur perkhidmatan kekal berasaskan model tambang rendah.

Penumpang mungkin membayar lebih mahal, tetapi pengalaman penerbangan tidak berubah secara signifikan.

Fenomena ini berpotensi mengubah persepsi pasaran. Apabila jurang antara harga tambang rendah dan perkhidmatan penuh semakin mengecil, pengguna mula menilai semula pilihan mereka.

Perkara ini mewujudkan tekanan persaingan baharu yang tidak berpunca daripada produk, tetapi daripada struktur kos yang berubah akibat krisis.

Selain itu, gangguan ini turut mencetuskan cabaran logistik yang kompleks. Lencongan laluan boleh menambah antara dua hingga empat jam bagi penerbangan jarak jauh.

Akibatnya, jadual penerbangan menjadi tidak stabil, penggunaan pesawat kurang efisien dan pengurusan kru penerbangan menjadi lebih rumit.

Kesan rantaian daripada gangguan ini tidak terhenti pada satu penerbangan sahaja. Kelewatan awal akan menjejaskan jadual penerbangan seterusnya, penumpang transit berisiko terlepas sambungan dan kru penerbangan mungkin perlu diganti apabila melebihi had waktu kerja.

Bahkan, slot ketibaan dan pelepasan di lapangan terbang turut terganggu, sekali gus memberi impak kepada keseluruhan ekosistem penerbangan dan rantaian bekalan global.

Satu lagi aspek penting ialah insurans. Ketika situasi konflik sebegini, premium perlindungan risiko perang meningkat dengan ketara. Hal ini menambah lagi beban kewangan kepada syarikat penerbangan, walaupun perlindungan tersebut tidak semestinya meliputi semua kerugian.

Keselamatan menjadi keutamaan mutlak dalam persekitaran yang tidak menentu ini. Industri penerbangan moden beroperasi atas prinsip bahawa setiap risiko mesti dikenal pasti, dinilai dan dikawal tanpa kompromi.

Peranan badan seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) semakin penting dalam memastikan setiap keputusan operasi dibuat berdasarkan data yang tepat, bukannya andaian atau gerak hati.

Syarikat penerbangan kini tidak boleh bergantung kepada andaian. Setiap laluan perlu melalui penilaian risiko yang ketat dan sebarang ancaman seperti aktiviti ketenteraan boleh memaksa keputusan lencongan dibuat dalam masa singkat.

FOTO AFP

Sejarah telah memberikan pengajaran yang mahal. Tragedi Malaysia Airlines MH17 membuktikan bahawa konflik di darat boleh menjadi ancaman nyata kepada pesawat awam di udara. Justeru, mengelakkan ruang udara berisiko bukan lagi pilihan strategik, tetapi tanggungjawab moral.

Namun persoalan besar kekal. Sejauh mana syarikat penerbangan mampu bertahan.

Industri ini sememangnya beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis. Syarikat penerbangan tambang rendah amat terdedah kerana model perniagaan mereka bergantung kepada penggunaan pesawat yang maksimum.

Sebarang gangguan akan menjejaskan kecekapan dan menghakis keuntungan dengan cepat.

Sebaliknya, syarikat penerbangan perkhidmatan penuh mempunyai sedikit ruang bernafas, terutamanya jika disokong oleh kerajaan atau dana besar.

Namun kelebihan ini juga terbatas sekiranya krisis berpanjangan.

Gangguan ini turut memperlihatkan betapa eratnya hubungan antara penerbangan dan ekonomi global.

Apabila laluan udara terganggu, kos kargo meningkat, rantaian bekalan menjadi perlahan dan akhirnya pengguna di seluruh dunia menanggung kesannya melalui kenaikan harga.

Bagi penumpang, kesannya mungkin sekadar tiket yang lebih mahal atau perjalanan yang lebih panjang. Namun di sebalik itu, terdapat ribuan tenaga kerja yang berusaha memastikan setiap penerbangan kekal selamat dalam keadaan yang semakin mencabar.

Akhirnya, krisis ini mengingatkan kita bahawa penerbangan bukan sekadar industri, tetapi cerminan kestabilan dunia. Apabila keseimbangan global terganggu, langit turut bergelora.

Namun seperti yang telah dibuktikan berulang kali, industri ini memiliki daya tahan yang luar biasa. Selagi manusia perlu bergerak dan berhubung, penerbangan akan terus mencari jalan untuk bangkit walaupun terpaksa meredah langit yang tidak lagi setenang dahulu.

Namun seperti yang telah dibuktikan berulang kali, industri ini memiliki daya tahan yang luar biasa. Selagi manusia perlu bergerak dan berhubung, penerbangan akan terus mencari jalan untuk bangkit walaupun terpaksa meredah langit yang tidak lagi setenang dahulu.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Raya dulu-dulu dan sekarang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.