Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • 17 kerusi DUN baharu tunggu proses SPR, belum pasti dipertandingkan PRN akan datang
  • SEMASA

17 kerusi DUN baharu tunggu proses SPR, belum pasti dipertandingkan PRN akan datang

Utusan Sarawak 7 hours ago
 TAN Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Len Talif Salleh, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Sebanyak 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah diluluskan masih menunggu proses persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum boleh dipertimbangkan untuk dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, kelulusan penambahan kerusi daripada 82 kepada 99 itu telah diputuskan di peringkat DUN, namun proses seterusnya kini terletak di bawah bidang kuasa SPR.

Menurutnya, SPR perlu menjalankan kajian persempadanan di peringkat akar umbi sebelum laporan lengkap dipamerkan kepada umum bagi tujuan bantahan, seterusnya diwartakan dan dibawa ke Parlimen.

“Setakat ini kita belum menerima sebarang laporan daripada SPR sama ada 17 kerusi baharu yang diluluskan itu telah disahkan atau sebaliknya.

“Jadi ia bukan lagi tugas Dewan Undangan Negeri, sebaliknya SPR perlu mengesahkan persempadanan terlebih dahulu sebelum proses seterusnya dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Len Talif Salleh, di sini, hari ini.

Mengulas sama ada kerusi baharu itu sempat dipertandingkan pada PRN akan datang, beliau berkata perkara tersebut bergantung kepada kelancaran proses di peringkat persekutuan.

“Kalau sempat, maka boleh dipertandingkan. Tetapi setakat ini kita masih menunggu dan belum ada sebarang respon daripada kerajaan pusat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Asfia menegaskan bahawa keperluan penambahan kerusi di Sarawak tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah penduduk semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira faktor geografi yang luas dan mencabar.

Beliau memberi contoh kawasan Parlimen Bintulu yang mempunyai empat kawasan DUN dengan jumlah pengundi hampir 120,000, sekali gus menunjukkan keperluan untuk dipecahkan kepada kawasan lebih kecil bagi memudahkan pentadbiran.

“Sarawak sangat luas. Ada kawasan yang memerlukan perjalanan jauh termasuk menggunakan pesawat dan helikopter dengan beberapa kali pengisian minyak hanya untuk meliputi satu kawasan Parlimen.

“Jadi tidak adil jika penentuan kawasan hanya berdasarkan populasi kerana faktor geografi dan keluasan kawasan juga perlu diambil kira,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan calon baharu, beliau menjelaskan perkara tersebut belum boleh dibincangkan selagi kawasan baharu belum diluluskan sepenuhnya.

“Kita tidak boleh mencadangkan calon selagi kawasan belum ditentukan. Apa yang penting sekarang adalah memperkukuh keyakinan dan kekuatan parti,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa tempoh matang DUN Sarawak adalah sehingga Februari 2027 dan pembubaran Dewan hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT) atas nasihat Premier Sarawak.

“Premier akan memberi nasihat kepada TYT dan kuasa membubarkan Dewan terletak pada TYT, bukan Premier,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Majlis Ramah Mesra Rakyat bersempena Aidilfitri eratkan perpaduan rakyat Petra Jaya
Next: Aduan harga mengelirukan, KPDN ambil tindakan tegas terhadap premis makanan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.