Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Peka penjagaan kendiri semasa musim raya, bendung penularan tibi – Pakar
  • KESIHATAN

Peka penjagaan kendiri semasa musim raya, bendung penularan tibi – Pakar

Utusan Sarawak 12 hours ago
PAKAR Perunding Perubatan Hospital Pakar KPJ Perlis Dr Nurazam Omar ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Dalam keseronokan menyambut Aidilfitri, masyarakat juga perlu peka terhadap aspek penjagaan kendiri semasa melakukan ziarah raya atau mengunjungi rumah terbuka bagi membendung penularan penyakit tuberkulosis (tibi) yang mudah merebak kepada individu lain melalui udara. Foto Bernama

KANGAR: Dalam keseronokan menyambut Aidilfitri, masyarakat juga perlu peka terhadap aspek penjagaan kendiri semasa melakukan ziarah raya atau mengunjungi rumah terbuka bagi membendung penularan penyakit tuberkulosis (tibi) yang mudah merebak kepada individu lain melalui udara.

Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar KPJ Perlis Dr Nurazam Omar berkata golongan bergejala seperti mengalami batuk dan berisiko dijangkiti, digalakkan memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan dan menjaga jarak antara satu hingga dua meter.

Beliau berkata individu bergejala batuk mempunyai risiko menjadi pembawa penyakit itu, yang boleh menjangkiti golongan berisiko, antaranya kanak-kanak berusia bawah lima tahun, warga emas serta penghidap penyakit kronik seperti diabetes dan kanser yang mempunyai daya tahan imun lemah.

“Bila musim raya ini, kebiasaannya kita nak pergi ziarah raya dan rumah terbuka, jadi mereka yang bergejala batuk dan mungkin mereka tidak tahu ada tibi perlu mengambil langkah berjaga-jaga memakai pelitup muka dan amalkan etika batuk yang betul untuk mengelak orang lain dijangkiti.

“Begitu juga mereka berisiko yang menghidap penyakit kronik perlu peka terhadap penjagaan kendiri memakai pelitup muka, kerap basuh tangan serta menjaga jarak, kerana sistem imun badan yang lemah memudahkan kuman menyerang paru-paru,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Dr Nurazam berkata penyakit berpunca daripada bakteria mycobacterium tuberculosis yang menyerang paru-paru itu boleh merebak menjangkiti individu lain menerusi udara apabila pembawa tibi aktif itu bercakap, batuk, bersin, menjerit dan menyanyi.

Beliau berkata tempoh masa seseorang individu berisiko tinggi dijangkiti penyakit itu setelah lebih lapan jam berinteraksi dan menjadi kontak rapat pesakit tibi di sesuatu tempat.

“Majlis rumah terbuka yang dibuat di kawasan terbuka mempunyai risiko rendah untuk penyakit ini merebak disebabkan pengudaraan baik berbanding dewan tertutup dan rumah, namun perlu diingatkan ia berisiko tinggi kepada penghidap penyakit kronik yang imun badan lemah untuk melawan penyakit,” katanya.

Dr Nurazam berkata penyakit itu boleh menyebabkan komplikasi kepada organ lain termasuk otak, buah pinggang, jantung, kelenjar dan tulang belakang sekiranya tidak didiagnosis lebih awal bagi mendapatkan rawatan segera.

Beliau berkata pesakit tibi yang mempunyai daya tahan imun rendah akan menyebabkan kuman itu terlampau banyak di paru-paru, yang seterusnya melalui saluran darah sehingga mengakibatkan jangkitan pada organ lain.

“Ada tibi pendam dan tibi aktif. Contohnya, individu A pesakit tibi menjangkiti individu B yang sistem imun badannya tinggi dan boleh bertindak balas dengan kuman itu pada paru-paru hingga tiada sebarang simptom, rasa sihat seperti biasa, kemudian buat saringan kesihatan didapati ia adalah tibi pendam.

“Berlainan pula sekiranya individu B ini mempunyai daya tahan imun lemah, tak mampu mengawal dan melawan kuman itu sehingga menyebabkan tibi aktif dan menjejaskan kesihatan,” katanya.

Dr Nurazam berkata masyarakat perlu berwaspada terhadap simptom batuk dan demam pada waktu malam yang berlarutan lebih dua minggu serta penurunan berat badan mendadak, sekali gus menggesa mereka untuk segera ke fasiliti kesihatan bagi membuat saringan tibi.

Beliau bagaimanapun berkata ada juga penyakit tibi yang datang tanpa sebarang simptom namun secara tiba-tiba mengalami sakit belakang teruk sebelum didiagnosis terkena penyakit itu selepas membuat saringan tibi melalui pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI).

“Sebab itu saya tekankan kepentingan menjaga diri dengan langkah pencegahan ini. Selain itu, jika dapat tahu dalam sesebuah rumah itu ada pesakit tibi, nasihat saya elakkanlah mengunjungi rumah itu pada waktu raya ini, jangan mengambil risiko. Sekiranya tetap nak ke rumah itu, pakailah pelitup muka dan jaga jarak,” katanya.

Dr Nurazam berkata saringan tibi boleh dilakukan dengan beberapa cara pemeriksaan, iaitu melalui sinar-X dan MRI, ujian kahak ataupun ujian kulit tuberkulin (TST) bagi mereka yang batuk kering serta pengambilan sampel saluran pernafasan.

Beliau berkata pesakit tibi memerlukan rawatan dan pengambilan ubat-ubatan tertentu dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun untuk pulih- Bernama

Continue Reading

Previous: AstraZeneca perkenal Soliris di Malaysia untuk rawatan penyakit jarang jumpa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.