
LIMBANG: Pemilik anjing diwajibkan melesenkan setiap haiwan peliharaan mereka di kawasan pentadbiran majlis bagi menjamin keselamatan serta kebersihan awam.
Pengerusi Majlis Daerah Limbang (MDL), Kaunselor Sufian Mohat berkata, setakat ini kadar pendaftaran lesen anjing masih rendah, justeru pemilik digesa mendaftarkan haiwan peliharaan mereka.
Menurutnya, pendaftaran lesen anjing kini ditawarkan secara percuma dan turut melibatkan pemberian suntikan antirabies sebagai langkah pencegahan.
“Kempen pendaftaran lesen anjing percuma sepanjang tahun ini merupakan langkah progresif kerajaan Sarawak bagi mengekang penularan kes rabies di negeri ini.
“Rekod kita di Limbang ketika ini hanya sekitar 70 ekor anjing yang dilesenkan, jumlah itu amat rendah. Jadi kita mengesa pemilik anjing agar tampil melesenkan haiwan peliharaan mereka,” katanya kepada media baru-baru ini.
Beliau berkata, MDL turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah soal pelesenan kerana tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berkala.
“Setiap rumah atau individu hanya dibenarkan memelihara maksimum tiga ekor anjing. Jika melebihi jumlah itu, pemilik perlu mendapatkan kebenaran jiran serta memohon kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelasnya.
Tambah beliau, walaupun tiada kes rabies dikesan di daerah ini ketika ini, aspek keselamatan dan kebersihan awam tetap menjadi keutamaan.
Kes rabies terakhir di Limbang dilaporkan pada 2022.
Oleh Adeng Edrus