KUCHING: Sarawak dijangkakan bakal memperoleh keuntungan yang besar dari perdagangan hidrogen antarabangsa setelah mengambil kira permintaan global sangat memberangsangkan.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ekonomi hidrogen yang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak kini bukan hanya sekadar promosi tetapi trend terkini dalam usaha mendapatkan tenaga boleh diperbaharui di kalangan negara maju di dunia.
“Perkembangan dalam industri tenaga boleh diperbaharui di dunia baru-baru ini telah jelas menunjukkan bahawa perdagangan tenaga hidrogen bakal memberikan pulangan yang lumayan kepada negeri atau negara pengeluar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga pihak iaitu SEDC Energy Sdn Bhd dengan Sumitomo Corporation dan ENEOS di sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.
Menurut beliau, langkah strategik yang dibuat oleh SEDC Energy melalui jalinan kerjasama dengan dua konglomerat perniagaan terkenal di Jepun dianggap seperti satu jalan pintas dalam usaha membangunkan loji pengeluaran hidrogen di negeri ini.
“Kerjasama strategik ini adalah sejajar dengan pelan cadangan dan pelaksanaan kemudahan bagi loji pengeluaran hidrogen berskala besar di Bintulu yang dijangkakan siap pada tahun 2023.
“Ini bagi memenuhi keperluan pembeli berpotensi dari negara maju termasuk Jepun, Kesatuan Eropah, China, Amerika Syarikat dan banyak lagi,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, MoU inj pada dasarnya akan membuka jalan bagi pelaksanaan kajian tekno-komersial mengenai pengembangan sebuah kilang pengeluaran hidrogen di Taman Petrokimia Bintulu.
Katanya, Taman Petrokimia ini memiliki kemampuan untuk mengeksport hidrogen nol-karbon atau hijau ke Jepun dan negara-negara lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa tapak loji ini boleh diperluaskan lagi menjadi ribuan tan per tahun dalam masa terdekat.
“Pada masa ini, Australia dan Brunei telah mengeksport hidrogen ke Jepun dengan menggunakan toluena, sebelum dikirim dengan menggunakan kontena pada takat suhu bilik, dan seterusnya diekstraksi menjadi hidrogen semula di kilang dehidrogenasi mereka di sana nanti,” tambahnya lagi.
Justeru, beliau berkata pelan perancangan seumpama ini masih berada dalam fasa penyelidikan dan pengembangan lebih lanjut terutama dalam pengurangan kos.
“Kita sebenarnya menyasarkan untuk mengurangi ketergantungan terhadap sektor minyak dan gas, serta mula beralih kepada pengkomersialan hidrogen hijau sebagai komoditi eksport utama kita nanti,” tegasnya lagi.
Oleh Akmal Adib Yusup